KWSP beri amaran terhadap tawaran khidmat pinjaman wang dalam talian

Jurucakap Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberitahu AFP ia tidak menyediakan perkhidmatan pinjaman wang kepada pencarumnya. Tabung simpanan persaraan itu juga menolak dakwaan siaran palsu di Facebook yang kononnya mempromosikan khidmat pinjaman wang daripada agensi tersebut. Catatan itu mengandungi grafik yang mendakwa pinjaman akan diluluskan dalam tempoh satu jam dan disertakan satu nombor telefon, tetapi KWSP menggesa orang ramai agar tidak terperdaya dengan iklan palsu itu.

"NAK BUAT PINJAMAN TAPI TAK NAK BAYAR BULANAN? Syarikat kami telah menyediakan satu skim pinjaman kwsp bagi yang bakal menerima pengeluaran Kwsp dalam '24 bulan' masa terdekat," bunyi kapsyen pada catatan Facebook disiar pada 11 September 2024. "Pinjam dahulu, bayar masa keluar Kwsp."

Siaran itu turut mendakwa bahawa pinjaman itu terbuka kepada mereka yang berusia 53 atau 54, sementara KWSP membenarkan pengeluaran bermula umur 55 tahun. 

Siaran yang disertakan dengan grafik itu mendakwa proses permohonan pinjaman wang adalah mudah dan "hanya mengambil masa satu jam" untuk diluluskan. 

Catatan itu turut memaparkan logo rasmi KWSP dan disertakan nombor telefon peribadi untuk mereka yang berminat menghubungi.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 8 Oktober 2024

Siaran palsu yang menyalahgunakan logo kerajaan dan menyamar sebagai agensi-agensi kerajaan dengan tawaran bantuan tunai atau perkhidmatan lain sering muncul di negara ini, dan pernah disangkal oleh AFP di sini dan di sini.

Hantaran lain yang mengiklankan "pinjaman KWSP" itu juga muncul di Facebook di sini, di sini, dan di sini. Hantaran yang serupa pernah diedarkan sejak tahun 2021.

Pihak ketiga

Carian kata kunci menerusi Google membawa kepada siaran asal disiarkan di halaman sah Facebook milik KWSP pada 23 September 2024 yang melabelkan maklumat grafik itu sebagai "palsu" (pautan arkib).

"Sebarang maklumat mengenai KWSP, sila pastikan anda hanya rujuk kepada laman web dan media sosial rasmi KWSP," kataya. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook KWSP pada 23 September

Seorang jurucakap KWSP memberitahu AFP bahawa akaun yang kononnya mengiklankan pinjaman wang itu tidak ada kaitan dengan agensi dana persaraan itu dan mereka tidak memperakui sebarang tawaran dan skim sedemikian melalui transaksi pihak ketiga.

"Peranan utama KWSP adalah untuk mengurus dan mengembangkan simpanan persaraan ahli dan ia tidak terlibat atau menyokong mana-mana aktiviti pemberian pinjaman wang," katanya kepada AFP pada 8 Oktober. 

Pada April 2023, Kementerian Kewangan mengumumkan satu pelan yang membolehkan pencarum KWSP membuka akaun berasingan untuk membayar pinjaman peribadi yang mereka ambil daripada institusi perbankan, tetapi skim itu tidak menyebut sebarang pinjaman yang disediakan oleh KWSP (pautan arkib).

Permohonan untuk skim pembiayaan itu telah ditutup pada April lalu.

Lazimnya, mereka yang menghampiri umur persaraan boleh membuat pengeluaran daripada KWSP berdasarkan beberapa syarat, menurut laman web rasmi.

Mereka yang berumur 50 tahun boleh membuat sekali pengeluaran sebahagian daripada dana, manakala pada umur 55 tahun -- umur persaraan rasmi -- semua atau sebahagian daripada simpanan boleh dikeluarkan. Jika individu memilih untuk terus bekerja melebihi 55 tahun, caruman akan diteruskan dan boleh dikeluarkan pada umur 60 (pautan arkib di sini dan di sini).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami