
Ini video lama PM Israel lari untuk mengundi, bukan berlindung dari serangan Iran
- Diterbitkan pada hari Isnin 14/10/2024 pukul 10:26
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Malaysia, AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video Benjamin Netanyahu bergegas untuk mengundi dalam persidangan parlimen telah dikongsi dengan dakwaan palsu bahawa Perdana Menteri Israel itu melarikan diri ke kubu bawah tanah ketika Iran melancarkan serangan peluru berpandu pada 1 Oktober 2024. Video itu dimuatnaik ke akaun media sosial beliau tiga tahun lepas.
"Netanyahu dan jemaah menterinya lari ketakutan bersebunyi di kubu bawah tanah ketika Iran lancarkan serangan hampir 200 peluru berpandu," bunyi kapsyen Facebook reel disiarkan pada 3 Oktober, 2024 (pautan arkib).
Reel itu menunjukkan Netanyahu sedang berlari dalam sebuah bangunan dan telah ditonton beratus kali.

Dakwaan palsu itu dikongsikan selepas Iran melancarkan serangan ke atas Israel sebagai tindak balas kepada serangan Israel terhadap sekutunya (pautan arkib).
Serangan pada Oktober itu adalah serangan kedua Iran terhadap Israel. Pada April, Iran melancarkan 300 dron dan peluru berpandu dalam serangan tindak balas susulan serangan Israel terhadap konsulatnya di Damsyik yang mengorbankan tujuh pegawai tertinggi tentera (pautan arkib).
Video itu dikongsi dengan dakwaan palsu yang sama dalam beberapa bahasa termasuk Inggeris, Arab, Perancis, Yunani, Portugis, dan Burma.
Video itu juga tersebar di akaun Facebook di negara ini dengan dakwaan palsu yang sama dan telah ditonton beratus kali.
Undian parlimen
Video yang dikongsikan bersama dakwaan palsu asalnya dimuatnaik ke akaun rasmi X milik Netanyahu pada 14 Disember, 2021 (pautan arkib).
"Saya sentiasa berbangga berlari untuk anda," bunyi kapsyen hantaran itu dalam bahasa Ibrani.
Kapsyen itu menyatakan bahawa video itu dirakam "setengah jam lalu" di parlimen Israel yang dikenali sebagai Knesset sebelum ia dimuatnaik.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi siaran palsu (kiri) dan tangkapan skrin siaran yang dimuatnaik ke akaun X Netanyahu (kanan):

Klip berdurasi 25 saat itu menunjukkan Netanyahu sedang berlari dalam bangunan itu and menaiki tangga.
Media Israel melaporkan bahawa pada hari yang sama, Netanyahu yang pada ketika itu adalah ketua pembangkang, bergegas untuk membuat undian di parlimen (pautan arkib).
Serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober mengorbankan 1,206 orang, kebanyakannya orang awam, mengikut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel termasuk tebusan yang terkorban.
Dalam 251 tebusan yang ditahan, 97 masih berada di Gaza, termasuk 34 orang terbunuh.
Serangan balas Israel telah membunuh 42,000 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas itu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan angka itu sebagai boleh dipercayai.
AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai serangan Iran ke atas Israel di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami