Akaun media sosial yang menyamar sebagai Kementerian Pendidikan menjual sijil akademik tidak sah
- Diterbitkan pada hari Isnin 19/08/2024 pukul 10:50
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"MENERIMA PEMBUATAN SIJIL PENGHARGAAN UNTUK SEMUA JABATAN KERJA," tulis satu siaran Facebook yang dikongsi pada 14 Mei oleh satu akaun yang mendakwa ada kaitan dengan Kementerian Pendidikan (KPM).
"SIJIL/DIPLOMA/DEGREE/IJAZAH YANG KAMI BUAT NI RASMI,BUKAN FAIL PALSU. FAIL YANG KAMI BUAT NI VALID MASUK SISTEM DAN BOLEH CHECK. FAIL NIH PUN BOLEH GUNA TUK KERJA."
Gambar-gambar yang disertakan pada siaran itu menunjukkan pelbagai jenis sijil akademik yang memaparkan logo KPM dan beberapa agensi kerajaan lain.
Satu pautan pada bahagian bawah siaran terbabit membawa pengguna ke ruangan sembang di aplikasi WhatsApp, dimana mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut.
Siaran serupa yang mempromosikan perkhidmatan pembuatan sijil "rasmi" berharga antara RM1,000 hingga RM6,000 ringgit dikongsi di Facebook di sini dan di sini dan telah muncul sejak 2023 di sini, di sini, sini dan sini.
Sijil palsu itu juga disiarkan untuk dijual di Instagram, termasuk di sini dan di sini, oleh akaun yang telah meraih puluhan ribu pengikut.
AFP menghubungi salah seorang penjual dan diberikan borang pesanan yang meminta butiran peribadi seperti nama penuh pembeli dan alamat penghantaran, manakala penipu itu juga meminta pembeli menghantar butiran kad pengenalan mereka dan menyediakan tandatangan digital.
KPM, bagaimanapun, tidak menyumber luar pengendalian permohonan sijil-sijil keputusan peperiksaan dan sebelum ini telah memberi amaran mengenai laman media sosial yang menyamar sebagai kementeriannya.
Akaun penipuan
Kementerian Pendidikan (KPM) memberitahu AFP pihaknya tidak pernah "melantik mana-mana ejen atau individu persendirian" untuk mengendalikan permohonan salinan atau terjemahan keputusan peperiksaan.
"Semua urusan rasmi berkaitan sijil peperiksaan hanya dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan tidak melibatkan pihak ketiga," kata KPM pada 14 Ogos.
Tambah kementerian itu, sebarang permohanan hanya dikendalikan secara dalam talian di laman web rasmi LP dan tidak diterima melalui telefon bimbit atau aplikasi WhatsApp.
KPM juga mengata bahawa cetakan sijil asal dan salinan keputusan peperiksaan yang dikeluarkan oleh LP hanya memparkan jata negara dan tiada logo LP seperti dilihat pada gambar-gambar disiar oleh akaun-akaun penipu terbabit (pautan arkib di sini dan di sini).
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada dengan laman media sosial palsu yang menyalahgunakan nama dan logo rasmi kementerian (pautan arkib).
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terperdaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan," menurut kenyataan KPM pada 31 Julai.
Kementerian Pendidikan Tinggi juga membuat laporan polis berhubung dakwaan penjualan sijil akademik palsu, lapor Bernama pada 1 Ogos (pautan arkib).
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata beberapa kes penipuan sijil akademik berjaya dibongkar melalui aduan orang ramai mengenai sindiket penipuan memperdaya mangsa menggunakan nama institusi-institusi pengajian tinggi.
Bernama melaporkan penipuan itu menyasarkan individu-individu yang "terdesak untuk mendapatkan kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan".
AFP sebelum ini menafikan akaun-akaun penipuan lain yang menyamar sebagai badan-badan kerajaan di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami