Kementerian Kesihatan beri amaran produk kosmetik mengandungi racun berjadual

Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menggunakan produk kosmetik yang berulang kali diiklankan di media sosial sebagai "bebas bahan terlarang". Ia selepas kementerian mendapati krim muka itu mengandungi bahan kimia yang tidak boleh digunakan tanpa pengawasan perubatan kerana risiko kesihatan dan telah mengarahkan penarikan balik produk terbabit. 

Produk itu -- Dnars Gold Debalen Cream -- telah diiklankan secara salah sebagai "bebas bahan terlarang" dalam siaran Facebook yang dikongsi pada 29 September 2024.

Siaran itu mendakwa krim muka itu "membantu menghilangkan jeragat, jerawat dan parut" serta "menghilangkan pigmentasi, tona kulit tak sekata dan tompok gelap". 

Beberapa imej yang dimuatnaik pada siaran itu menunjukkan pembungkusan produk krim tersedia dalam beberapa set kotak yang berbeza.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 10 Oktober 2024

Siaran serupa yang mengiklankan krim itu telah dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Kementerian Kesihatan (KKM) bagaimanapun memberi amaran bahawa krim itu mengandungi racun berjadual. 

Pembatalan produk

KKM pada 30 September mengumumkan bahawa produk Dnars Gold Debalen Cream dikesan mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate -- ubat yang hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan (pautan arkib).

Kementerian turut memberi amaran kepada orang ramai bahawa penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

"Kesan sampingan termasuk kemerahan pada kulit, bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah," katanya dalam kenyataan. 

Kementerian itu turut mengarahkan semua penjualan produk terbabit dihentikan serta-merta dan peniaga perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan. 

"Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," kata KKM. 

Menurut kementerian, produk kosmetik terlibat "tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia."

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara produk yang ditunjukkan dalam siaran palsu (kiri) dan contoh imej produk Dnars Gold Debalen Cream yang disertakan dalam kenyataan KKM (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara produk yang ditunjukkan dalam siaran palsu (kiri) dan contoh imej produk Dnars Gold Debalen Cream yang disertakan dalam kenyataan Kementerian Kesihatan (kanan)

Kesan sampingan

Walaupun sesetengah bahan yang terkandung dalam krim itu dapat membantu memulihkan keadaan kulit, penggunaan tanpa pengawasan boleh membawa kepada kesan sampingan yang berbahaya, Dr Felix Yap Boon Bin, pakar perunding dermatologi di Pusat Perubatan Sunway, memberitahu AFP pada 9 Oktober (pautan arkib).

"Kepekatan tinggi (bahan) hydroquinone membawa kepada pelunturan kulit yang dipanggil leukoderma yang menyebabkan kulit menjadi putih kepucatan pada kawasan terdedah. Kepekatan yang dibenarkan di Malaysia hanya sehingga 4 peratus."

"Betamethasone dan tretinoin hanya boleh digunakan oleh pengamal perubatan berpengalaman dengan tempoh penggunaan yang terhad."

Senarai pakar dermatologi Malaysia yang berkelayakan boleh dirujuk di laman web Persatuan Dermatologi Malaysia (pautan arkib).

AFP sebelum ini menyemak fakta maklumat salah berkaitan keselamatan pengguna di Malaysia.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami