Ini video 'puting beliung api' di negeri Wyoming pada Ogos 2024, bukan ketika kebakaran hutan Los Angeles

Satu video dikongsi di media sosial dengan dakwaan salah ia menunjukkan puting beliung api berkembar di California ketika kebakaran hutan menjejaskan kawasan Los Angeles pada Januari 2025. Tetapi carian imej terbalik mendapati rakaman itu sebenarnya diambil di negeri Wyoming pada Ogos 2024 dan ia disahkan oleh anggota bomba sukarela yang merakamnya.

"Puting beliung api meningkat di California," bunyi kapsyen pada video dikongsi di Telegram pada 13 Januari 2025. 

Siaran serupa yang menunjukkan dua puting beliung berapi di kawasan lapang disiarkan di Facebook di sini dan di sini. Ia juga dikongsi dalam bahasa Inggeris

Image
Tangkapan skrin siaran Telegram palsu, diambil pada 23 Januari 2025

Siaran itu muncul selepas kebakaran hutan di Los Angeles membakar lebih 40,000 ekar tanah di bandar kedua terbesar di Amerika itu dan memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka. Sekurang-kurangnya 27 orang maut dalam kebakaran yang dipacu angin, setakat 19 Januari.

Rakaman video menunjukkan cuaca ekstrem telah mencetuskan fenomena puting beliung api, pusaran api yang menjulang tinggi membelah landskap.

Tetapi video puting beliung api yang tersebar dalam talian itu dilaporkan berlaku sebelum kebakaran di California pada Januari 2025 dan rakaman sebenarnya diambil di Wyoming.

Carian imej terbalik menemui rakaman sama diterbitkan pada Ogos 2024 oleh sebuah stesen radio tempatan (pautan arkib).

Stesen radio itu memetik seorang pengguna Facebook yang siarannya mendedahkan video itu diambil dari TikTok milik Michelle Reinke, seorang pemilik kedai hiasan rumah di Wyoming dan seorang anggota bomba sukarela (pautan arkib di sini dan di sini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video dikongsi secara salah dalam talian (kiri) dan klip dirakam Reinke (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi video dikongsi secara salah dalam talian (kiri) dan klip dirakam pengguna Facebook Michelle Reinke (kanan)

Reinke memuat naik video itu pada 23 Ogos 2024, dengan kapsyen menyatakan ia menunjukkan kebakaran Remington membakar kawasan Clearmont dan Arvada, Wyoming. "Ini adalah kebakaran terbesar saya sejak menyertai bomba sukarela daerah Clearmont," tulis Reinke.

Reinke turut menyiarkan rakaman versi dipotong beberapa hari kemudian (pautan arkib). Dia turut mengesahkan kepada AFP pada 17 Januari lalu bahawa rakaman itu adalah miliknya dan diambil pada Ogos 2022 di negerinya.

"Saya rakam video itu di Wyoming pada 22 Ogos 2024 kerana saya seorang anggota bomba sukarela untuk daerah Clearmont, Arvada, Ucross dan Wyarno," katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa banyak siaran media sosial cuba menyalahgunakan klip dengan dakwaan ia terjadi di California. 

Reinke, yang berkata dia melesenkan klip itu kepada syarikat pelesenan video ViralHog, berkongsi dengan AFP metadata iPhone yang mengesahkan bahawa klip itu telah dirakam pada 22 Ogos pada koordinat GPS di Clearmont (pautan arkib).

Imej satelit Google Earth memetakan koordinat ke kawasan dengan ciri yang kelihatan sepadan dengan ciri topografi dalam rakaman (pautan arkib). Koordinat itu juga berdekatan dengan kawasan yang disenaraikan di laman web kerajaan yang terjejas dengan kebakaran Remington (pautan arkib).

Bomba daerah Clearmont juga menyertakan gambar puting beliung api yang sama sebagai sebahagian daripada siaran pada 25 Ogos.

Josh McKinley, ketua bomba daerah Clearmont, memberitahu USA Today bahawa dia merakam gambar dan video pusaran api itu dan ketika itu sedang "berdiri di atas bahu kanan" anggota bomba sukarela ketika dia merakam video terbabit. AFP menghubungi McKinley untuk mendapatkan komen lanjut, tetapi tiada maklum balas.

Sementara itu, satu lagi klip yang digabung dalam video salah itu sebenarnya telah muncul dalam talian sejak 2024 yang menunjukkan fenomena puting beliung api di daerah Chico (pautan arkib). 

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai kebakaran hutan di Los Angeles di sini dan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami