Tiada bukti saintifik sokong penggunaan daun sirih panas rawat kahak bayi

Tiada bukti saintifik untuk menyokong penggunaan daun sirih panas pada badan bayi untuk mengurangkan hingus atau melegakan batuk, pakar pediatrik memberitahu AFP. Mereka memberi amaran bahawa penggunaan rawatan tidak terbukti yang dikongsi dalam talian boleh menghalang rawatan berkesan untuk mengubati penyakit. 

"Alhamdulillah kali kedua buat ni sama baby fayyadh. Selepas seminggu berkahak/hingus. akhirnya harini beransur hilang," tulis sebahagian kapsyen siaran Facebook mengenai satu petua yang didakwa mampu merawat masalah hingus dan kahak dalam kalangan bayi pada 11 Mac. 

Siaran itu mendakwa daun sirih yang dipanaskan dengan api lilin atau di atas dapur yang kemudiannya diletakkan pada dada dan belakang badan bayi akan dapat "menghilangkan kahak/hingus". 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 2 April 2025

Petua kesihatan itu dikongsi sejak 2018 dan muncul semula pada 2023 dan 2025.

Tetapi belum ada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan itu, kata pakar pediatrik.

'Tidak cukup kajian berasaskan bukti'

"Buat masa ini, kajian-kajian berasaskan bukti dan penelitian tidak mencukupi yang secara konklusif menunjukkan bahawa faedah meletakkan daun sirih panas pada kulit bayi untuk mengurangkan gejala pernafasan, seperti hingus berlebihan atau batuk," kata pakar perunding kanan pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Norazlin Kamal Nor (pautan arkib). 

Hingus atau kahak pada bayi mungkin disebabkan oleh keadaan saluran pernafasan atas atau bawah yang boleh melibatkan tahap gejala ringan hingga teruk dan rawatan pula bergantung kepada diagnosis asas, katanya kepada AFP pada 2 April.

"Sesetengah keadaan mungkin memerlukan antibiotik seperti jangkitan bakteria, sementara yang lain mungkin hanya memerlukan pengurusan sokongan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Faisal Mohd Fadzli, pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, memberitahu AFP pada 21 Mac bahawa tiada bukti saintifik yang bagus untuk menyokong rawatan itu (pautan arkib).

"Menggunakan rawatan yang tidak terbukti ini mungkin menghalang atau menangguhkan rawatan dan pengurusan yang sesuai bagi keadaan (kesihatan) itu, dan kelewatan mungkin menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk."

Kedua-dua pakar pediatrik itu berkata keselamatan menggunakan daun sirih yang telah dipanaskan dengan cara ini dan sebarang potensi kesan buruk mesti dinilai kerana terdapat risiko alahan sentuhan atau bahaya melecur akibat menggunakan daun yang terlalu panas.

Mungkin juga terdapat patogen pada daun, kata mereka.

AFP sebelum ini telah menyemak fakta mengenai petua-petua kesihatan yang lain seperti di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami