MDEC beri amaran siaran palsu sasar PMKS dengan permohonan 'geran digital'

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Digital memberi amaran terhadap siaran media sosial yang "berniat jahat" dalam mengiklankan geran palsu untuk syarikat perniagaan kecil mendapatkan barangan elektronik secara percuma. Siaran palsu itu menyertakan pautan ke ruang sembang WhatsApp, di mana orang ramai diminta untuk berkongsi butiran peribadi seperti alamat rumah, nombor kad pengenalan dan penyata bank.

"GERAN DIGITAL MSME 2025 - DAPATKAN HANDPHONE/TAB PERCUMA UTK PKS," bunyi sebahagian kapsyen pada siaran Facebook pada 17 Mac, yang turut berkongsi gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama logo "Malaysia Madani".

Siaran itu turut mendakwa geran itu adalah kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Bank Simpanan Nasional dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

Tambahnya, "geran terhad" itu ditawarkan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan mengajak pihak yang berminat untuk memohon menerusi pautan yang membawa pengguna Facebook ke ruangan sembang di aplikasi WhatsApp. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 7 April 2025

Satu lagi versi dakwaan yang dikongsi pada 10 Januari menampilkan satu imej yang memaparkan beberapa jenama telefon mudah alih dan tablet yang boleh diperoleh melalui permohonan geran palsu itu. 

Dakwaan itu juga muncul dalam bahasa Mandarin pada platform media sosial Xiaohongshu.

AFP menghubungi salah satu nombor telefon yang disenaraikan itu dan diberikan borang pesanan yang meminta butiran peribadi termasuk nama penuh pemohon dan alamat penghantaran. Pemohon juga diminta menyediakan salinan kad pengenalan dan penyata bank. 

MDEC, bagaimanapun, telah melabelkan siaran itu sebagai "berita palsu" dan menyifatkannya sebagai "berniat jahat".

'Sepenuhnya palsu'

Carian kata kunci di Google membawa kepada siaran Facebook oleh MDEC pada 28 Mac yang berbunyi: "Amaran Berita Palsu! MDEC menafikan sekeras-kerasnya dakwaan palsu tentang apa yang dipanggil geran digital MADANI untuk PMKS" (pautan arkib).

"Berita ini adalah sepenuhnya palsu dan berniat jahat. Kerajaan serta MDEC tidak mempunyai sebarang kaitan dengan geran ini," kata kenyataan itu. 

Image
Tangkapan skrin kenyataan media yang disiarkan di halaman rasmi Facebook MDEC

"Tiada (pemberian) telefon pintar atau komputer riba percuma," kata jurucakap MDEC kepada AFP pada 4 April.

Jurucakap itu sebaliknya menasihatkan orang ramai untuk hanya memohon geran yang dinyatakan di laman web rasminya, seperti salah satunya program yang mempelawa syarikat menjadi "Rakan Pendigitalan" dan ia menyediakan geran sebanyak RM5,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (pautan arkib). 

Permohonan untuk geran itu telah ditutup pada 31 Mac lalu, menurut laman web rasmi.

AFP sebelum ini telah menafikan siaran penipuan serupa yang menyamar sebagai agensi kerajaan yang kononnya menawarkan pinjaman dan lesen memandu percuma.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami