
Krim rambut tidak boleh diguna pakai untuk rawat sakit lutut
- Diterbitkan pada hari 05/05/2025 jam 09:20
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"SAKIT LUTUT?" tulis teks pelekat pada video Facebook disiarkan pada 12 Mac 2025.
Video itu memaparkan seorang lelaki menunjukkan satu bekas krim rambut Brylcreem, mendakwa ia menyembuhkan sakit lututnya sebanyak "hampir 80 peratus" selepas tiga bulan menggunakan produk itu. Katanya, krim itu akan berkesan untuk orang tua yang mempunyai masalah lutut.
"Anda cuba. Hantar video ini kepada sesiapa saja yang sakit lutut," katanya.

Video yang sama telah dikongsi di akaun Instagram, TikTok dan YouTube oleh pengguna yang sama -- mendapat lebih daripada 280,000 tontonan.
Dakwaan sama mengenai produk rambut Brylcreem boleh menyembuhkan sakit lutut itu juga diedarkan dalam satu siaran pada 2020 di Facebook.
Pengguna media sosial meninggalkan komen yang dilihat menyokong dakwaan video itu: "Ya Betul tuu... Brylcreem cream ada kandungannya petroleum gel.. Dulu saya pakai untuk minyak rambut.. Sekarang saya pakai untuk lutut..."
"Pakai ini ok lah. Tak payah belanja banyak untuk lutut," tulis seorang lagi pengguna TikTok di ruangan komen.
Bagaimanapun, seorang wakil Malaysia dari Unilever, yang mengeluarkan produk Brylcreem, memberitahu AFP pada 28 April: "Brylcreem adalah produk penggayaan rambut. Ia dirumus untuk digunakan pada rambut dan tidak bertujuan untuk penggunaan lain."
Sementara itu, para pakar ortopedik berkata tiada bukti yang menyokong bahawa penggunaan krim rambut sebagai merawat sakit lutut.
"Tiada bukti saintifik yang menunjukkan bahawa sebarang krim rambut boleh berfungsi sebagai rawatan berkesan untuk sakit lutut atau otot," kata pakar bedah ortopedik Dr Suhail Suresh Abdullah di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (pautan arkib).
"Ramuan dalam produk, seperti minyak mineral dan lilin lebah, tidak mempunyai kesan menyembuhkan yang diketahui untuk keradangan sendi atau sakit yang berkaitan dengan saraf," tambahnya.
Dr Nazrul Nashi, seorang pakar bedah ortopedik di Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura berkata Brylcreem tidak diluluskan oleh mana-mana pihak berkuasa kesihatan, seperti Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat untuk digunakan sebagai rawatan sakit sendi atau otot (pautan arkib).
"Rawatan saintifik yang berkesan untuk sakit lutut termasuk ubat sapu untuk tahan sakit, yang mengandungi bahan seperti ubat anti-radang," katanya kepada AFP pada 30 April.
Kedua-dua pakar itu berkata sakit lutut bertambah teruk dari semasa ke semasa jika diabaikan, terutamanya dalam keadaan yang berkaitan dengan penuaan seperti osteoartritis. Mereka berkata diagnosis awal dan pengurusan secara konservatif adalah kunci untuk merawat keadaan dengan berkesan.
AFP sebelum ini telah menyemak fakta mengenai petua-petua kesihatan yang lain seperti di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami