Ini video kebakaran di Los Angeles, bukan di Israel

Ketika Israel berusaha memadamkan kebakaran liar akibat cuaca ekstrem, siaran di media sosial berkongsi satu video yang menunjukkan api marak di lereng bukit dengan dakwaan salah ia menunjukkan keadaan di negara itu. Sebenarnya, video itu diambil pada Januari 2025 ketika kebakaran Eaton di Los Angeles manakala kebakaran di Baltulmaqdis berlaku pada 23 April dan berjaya dikawal dengan cepat tanpa sebarang kematian.

"Israel menghadapi kebakaran terbesar," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 2 May, 2025. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 5 May 2025

Klip berdurasi 34 saat itu telah ditonton lebih 2,500 kali dan menunjukkan api marak di lereng bukit sebelum membakar sebuah rumah berdekatan.

Siaran itu tular selepas kebakaran liar tercetus di Baltulmaqdis pada 23 April ketika gelombang haba. Kebakaran menyebabkan pemindahan di beberapa komuniti, penutupan lebuh raya  dan perkhidmatan tren tergendala.

Sebanyak 2,000 hektar tanah terbakar sebelum ia berjaya dikawal sepenuhnya 20 jam kemudian. Tiada kematian dilaporkan (pautan arkib).

Menteri pertahanan negara itu mengumumkan darurat selepas satu lagi kebakaran berlaku di kawasan yang sama pada 30 April (pautan arkib).

Siaran sama dikongsi di Facebook di sini dan di sini. Ia juga tular dalam bahasa Inggeris, Urdu, Bengali, and Burma.

Namun, video itu sebenarnya diambil pada awal 2025 ketika kebakaran liar di California.

Carian imej terbalik dan kata kunci di Google membawa kepada video sama yang disiarkan oleh Ryan Wilcox pada 8 Januari 2025 di akaun Instagramnya (pautan arkib). 

Kapsyen video itu menunjukkan ia diambil pada malam 7 Januari di jalan Rubio Canyon di Altadena, kawasan mendaki popular yang dijilat kebakaran Eaton. 

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan siaran asal

Menggunakan petunjuk visual dan butiran dalam siaran, AFP berjaya mengesan kawasan di mana video itu diambil (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin video dalam siaran palsu (kiri) dan lokasi sebenar video mengikut Google Maps

Saluran media, termasuk WJAR 10 dan TheWrap, juga menggunakan klip itu dalam laporan yang diterbitkan pada bulan Januari tentang kemusnahan akibat kebakaran liar di California (pautan arkib di sini dan di sini).

Kebakaran liar Palisades dan Eaton di Los Angeles berjaya dikawal sepenuhnya pada 31 Januari selepas tiga minggu. Lebih 30 orang terkorban manakala ribuan dipindah (pautan arkib) . 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami