
Ini video kru kabin Air India dari Arab Saudi, bukan nahas Ahmedabad
- Diterbitkan pada hari 02/07/2025 jam 09:08
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Harshana SILVA, AFP Sri Lanka
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Wajah mereka kelihatan ceria, seolah-olah bersedia untuk tugasan seperti biasa…Tanpa disangka, itulah penerbangan terakhir buat semua krew pesawat Air India yang terkorban dalam nahas semalam," bunyi siaran TikTok pada 14 Jun 2025 yang telah ditonton lebih 887,000 kali.
Video itu menunjukkan seorang pramugari Air India merakam dirinya dan anak kapal lain yang berjalan sambil melambai ke arah kamera.
Teks pelekat pada video itu pula berbunyi, "Wajah-wajah ceria krew kapal Air India sebelum naik pesawat, rupanya itu tugasan terakhir mereka". Teks pelekat dalam Bahasa Inggeris pula berkata "semua krew meninggal dunia dalam nahas Ahmedabad".

Video itu juga disiarkan di Facebook dan Instagram. Ia juga tular di Sri Lanka dan India.
Ia beredar di media sosial selepas penerbangan Air India dari Ahmedabad menuju ke London pada 12 Jun dilaporkan terhempas atas sebuah bangunan asrama kolej perubatan (pautan arkib).
Terdapat seorang yang terselamat daripada 242 penumpang dan anak kapal di dalam pesawat itu apabila ia terhempas, manakala sekurang-kurangnya 38 orang di darat terbunuh (pautan arkib).
Namun, video yang tular itu tiada kena mengena dengan tragedi Air India dan tidak menunjukkan kru kabin pesawat tersebut.
Carian imej terbalik membawa kepada klip serupa di Instagram yang disiarkan pada 9 Jun oleh sebuah akaun yang sering berkongsi video berkenaan pramugari Air India.
Video itu juga disiarkan pada akaun Threads pengguna tersebut dengan kapsyen bahasa Hindi berbunyi "Motivasi sebelum penerbangan UHL" manakala teks pelekat berkata "Semua kru yang bekerja keras dalam penerbangan yang sama" (pautan arkib).
UHL adalah kod lapangan terbang Al-Ula di Arab Saudi (pautan arkib).

Selepas videonya dikongsi dengan dakwaan palsu, pramugari yang merakam video tersebut meminta rakan-rakan dan keluarganya melaporkan akaun-akaun yang menyiarkannya secara salah pada 14 Jun (pautan arkib).
"Apa perasaan keluarga kami jika mereka mendengar yang kami sudah meninggal. Bagaimana seseorang boleh berkongsi ini tanpa maklumat," katanya.

Tambahnya, "Tuhan sangat baik. Saya baik-baik saja".
AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain yang berkaitan dengan nahas Air India.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami