
Ini video demonstrasi menentang dasar Donald Trump, bukan selepas AS serang Iran
- Diterbitkan pada hari 30/06/2025 jam 10:53
- Durasi bacaan 7 minit
- Oleh: Bill MCCARTHY, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Rakyat AS marah Trump serang Iran," bunyi teks pelekat pada video TikTok, dikongsi pada 24 Jun 2025, yang menunjukkan orang ramai sedang berhimpun di kawasan tepi laut.

Siaran sama juga dikongsi di Facebook dalam bahasa lain seperti Sepanyol, Jerman, Perancis dan Arab.
Siaran itu beredar selepas Presiden AS Donald Trump berkata pada 21 Jun bahawa tentera negara itu telah melaksanakan "serangan yang amat berjaya" ke atas tiga tapak nuklear Iran, termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordo. Operasi itu, yang digelar "Midnight Hammer," sebahagian daripada kempen Israel yang turut menyasarkan ketua tentera Tehran, mencetuskan kebimbangan konflik serantau yang meluas.
Presiden AS itu mengumumkan gencatan senjata yang rapuh dalam perang antara Iran dan Israel pada 23 Jun selepas Tehran melepaskan peluru berpandu balistik ke pangkalan AS di Qatar.
Demonstrasi kecil anti-perang membantah serangan udara oleh pentadbiran Trump itu muncul di beberapa bandar AS pada 22 Jun, menurut laporan. Lokasi tersebut termasuk San Diego, di mana stesen berita tempatan melaporkan bahawa berpuluh-puluh orang berkumpul untuk menentang pengeboman (pautan arkib di sini dan di sini).
Video yang tersebar di media sosial itu, bagaimanapun, tidak ada kaitan dengan protes terhadap tindakan Trump.
Carian imej terbalik menemui rakaman yang sama telah dimuat naik ke Instagram seawal 14 Jun, dengan kapsyen yang menunjukkan ia dirakam semasa protes "No Kings" yang dianjurkan di San Diego (pautan arkib). Demonstrasi serupa yang mengecam dasar autokrasi Trump telah dianjurkan di bandar dan pekan di seluruh Amerika Syarikat.
AFP menghubungi pencipta video tersebut untuk mendapatkan komen, tetapi tiada sebarang maklum balas diterima.
AFP melakukan geolokasi dan menemukan rakaman itu diambil di sebuah kompleks kondominium Savina, yang terletak di pusat bandar Ash Street di San Diego berhampiran Waterfront Park.
Imej Google Street View, imej satelit Google Earth dan gambar-gambar yang dilampirkan pada ulasan Google menunjukkan bangunan sekeliling yang sama, serta Star of India dan kapal-kapal lain yang berlabuh di Muzium Maritim San Diego (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).




Menurut laporan tempatan, protes "No Kings" di San Diego menyaksikan penunjuk perasaan berarak melalui Ash Street sebelum berkumpul di Waterfront Park (pautan arkib).
Gambar dan video berita tempatan mengenai acara 14 Jun itu menunjukkan orang ramai berkumpul dan berarak di sekitar jalan dan kawasan yang sama seperti yang muncul dalam klip yang disalahnyata dalam talian itu (pautan arkib di sini dan di sini).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami