
Gambar bangunan di Tel Aviv terbakar selepas serangan Iran ini hasil suntingan
- Diterbitkan pada hari 03/07/2025 jam 08:43
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Chayanit ITTHIPONGMAETEE, AFP Thailand, AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Tel aviv menyala," bunyi kapsyen siaran Threads pada 14 Jun 2025.
Imej itu menunjukkan Menara Marganit di bandar itu dan blok rumah pangsa berdekatan yang dijilat api (pautan arkib di sini dan di sini).
Siaran itu muncul selepas Israel menyerang sasaran nuklear dan tentera Iran pada 13 Jun yang mencetuskan serangan balas dari Tehran (pautan arkib di sini dan di sini).
Kedua-dua negara itu terus berbalas serangan peluru berpandu sehingga Presiden AS Donald Trump mengumumkan gencatan senjata pada 24 Jun untuk menamatkan konflik itu (pautan arkib). Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera Amerika di Qatar, yang disifatkan Trump sebagai tindakan balas yang "rapuh" untuk serangan AS terhadap tapak nuklear Iran (pautan arkib).
Menurut badan kehakiman Iran, lebih 900 orang telah dibunuh dalam perang selama 12 hari itu, manakala 28 lagi mati di Israel (pautan arkib).

Imej itu juga disiarkan sebagai tulen di Facebook dan bahasa Thailand.
Imej yang beredar itu, bagaimanapun, tidak sepadan dengan rakaman berita serangan Iran di Tel Aviv.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada imej yang sama dalam siaran Facebook pada 14 Jun yang sudah dipadam, daripada seorang pengguna yang menyatakan dirinya sebagai pengaturcara dan pereka dari Libya.
Imej beserta kapsyen berbahasa Arab itu berbunyi: "Imej yang saya sunting untuk meningkatkan semangat moral negara Arab telah tular dan juga dikongsi oleh Yasser Al-Dossari."
Rakaman oleh BBC menunjukkan kawasan di Tel Aviv terkena serangan peluru berpandu Iran, tetapi tidak menyala seperti yang dilihat dalam siaran palsu itu (pautan arkib).

Rakaman serupa yang dikongsi oleh France 24 di YouTube juga menunjukkan kepulan asap di udara dari lokasi berhampiran yang terkesan dengan serangan itu dan tiada bangunan di sekelilingnya terbakar (pautan arkib).
AFP sebelum ini telah menafikan beberapa dakwaan palsu lain berkaitan konflik Iran-Israel.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami