
Ini video ikan paus beluga terdampar di pantai pada 2023, bukan selepas gempa Rusia pada 2025
- Diterbitkan pada hari 08/08/2025 jam 08:31
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Sachin BAGHEL, AFP India
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Selepas tsunami melanda Rusia, 5 ikan paus beluga terdampar di Kamchatka," bunyi siaran Facebook dikongsi pada hari gempa melanda.
"Para nelayan menjaga mereka agar sentiasa basah dan selamat sehingga air pasang kembali. Kesemua 5 ekor berjaya kembali ke laut," tulis kapsyen pada video itu.

Siaran itu muncul ketika gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda di luar pantai wilayah Kamchatka di timur jauh Rusia (pautan arkib).
Ketinggian gelombang ombak sehingga empat meter (12 kaki) diramal berlaku di beberapa bahagian Pasifik dengan beberapa buah negara -- dari Jepun ke Amerika Syarikat sehingga ke Ecuador -- memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan pantai.
Amaran itu kemudiannya ditarik balik, membenarkan berjuta-juta mangsa yang dipindahkan sementara pulang ke rumah, termasuk di Kamchatka.
Satu-satunya kematian dilaporkan membabitkan seorang wanita selepas keretanya terjatuh dari tebing di Jepun ketika dia cuba melarikan diri, lapor media tempatan.
Klip itu juga dikongsi bersama dakwaan serupa di pelbagai platform seperti Instagram dan Threads.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada video yang berdurasi lebih panjang dan terbalik dalam bentuk mendatar yang dimuat naik ke YouTube pada 13 Ogos 2023, dengan tajuk yang mengatakan bahawa ia menunjukkan penduduk Kamchatka menyelamatkan sekeluarga paus beluga (pautan arkib).

Video itu mengandungi teks bertindih yang merujuk kepada portal berita Rusia Kamchatka Inform, yang melaporkan pada 13 Ogos 2023 bahawa terdapat sekeluarga ikan paus beluga -- empat dewasa dan seekor anak -- terdampar di muara Sungai Tigil semasa air surut (pautan arkib).
Laporan berkata semua haiwan itu terselamat dan berjaya kembali ke laut sendiri ketika air pasang.
AFP juga telah menafikan dakwaan palsu lain berkaitan gempa bumi Rusia di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami