
Ini klip tanah runtuh di Jepun, bukan di Pakistan
- Diterbitkan pada hari 25/08/2025 jam 06:23
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Masroor GILANI, AFP Pakistan
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Hujan lebat di Pakistan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, tetapi satu video yang kononnya menunjukkan aliran lumpur menimpa bangunan bukan dirakam di negara itu. Klip itu sebenarnya kompilasi video yang dirakam di bandar Atami, Jepun pada Julai 2021.
"PAKISTAN - ADEGAN YANG MENAKUTKAN , BANJIR MENERJAH BANDAR KASHMIR PADA 17 OGOS 2025 LALU", bunyi kapsyen siaran TikTok pada 20 Ogos 2025.
Video itu merupakan kompilasi beberapa klip berbeza, dengan yang pertama menunjukkan aliran lumpur menimpa sebuah bangunan berwarna merah.

Kompilasi serupa juga disiarkan di Facebook dan dalam bahasa Urdu. Video itu tular ketika Pakistan dilanda hujan monsun yang berterusan yang telah meragut 400 nyawa (pautan arkib).
Musim tengkujuh membawa kira-kira tiga perempat daripada hujan tahunan Asia Selatan, yang penting untuk pertanian dan keselamatan makanan tetapi juga menyebabkan kemusnahan yang meluas.
Hujan yang melanda Pakistan telah menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang menghanyutkan seluruh kampung, menyebabkan ramai penduduk terperangkap dalam runtuhan manakala ratusan mangsa masih hilang.
Tetapi klip yang digunakan pada permulaan kompilasi yang beredar tidak dirakam di Kashmir, Pakistan.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada satu klip serupa yang disiarkan oleh agensi media Jepun Sankei News di YouTube pada 3 Julai 2021 (pautan arkib).
Rakaman yang lebih panjang dalam laporan agensi tersebut dikreditkan kepada agensi EyePress.
Kapsyennya berkata video itu menunjukkan banjir lumpur yang melanda kejiranan Izusan di Atami, sebuah bandar di wilayah Shizuoka Jepun, pada 3 Julai 2021.

Video itu sepadan dengan imej Google Street View bandar Atami yang terletak sekitar 90 kilometer dari Tokyo (pautan arkib).
AFP melaporkan banjir lumpur memusnahkan banyak kediaman di kawasan pinggir bukit akibat hujan lebar berterusan (pautan arkib). Seramai 27 orang maut dalam kejadian tanah runtuh itu.
Video yang sama telah beberapa kali disalah tafsir di media sosial untuk menunjukkan bencana yang tidak berkaitan.
Klip lain kompilasi video tersebut menunjukkan air banjir yang deras dan bangunan yang tumbang.
Walaupun AFP tidak dapat mengesahkan kesemuanya menunjukkan kesan hujan monsun di utara Pakistan pada Ogos 2025, sekurang-kurangnya satu daripada klip itu dirakam beberapa tahun lepas.
Klip yang menunjukkan air banjir mengalir dengan laju telah tersebar di Facebook dan YouTube sejak Ogos 2022 (pautan arkib di sini dan di sini).
Ia sebenarnya dirakam di daerah Swat di Khyber Pakhtunkhwa,

Hujan monsun pada 2022 mengakibatkan banjir yang menenggelami satu pertiga daripada Pakistan dan mengorbankan lebih daripada 1,700 orang.
AFP melaporkan pada ketika itu beberapa sungai di Khyber Pakhtunkhwa melimpah dan menghanyutkan banyak bangunan termasuk hotel 150 bilik yang runtuh (pautan arkib).
Menurut pihak berkuasa banjir itu menjejaskan lebih 33 juta orang dan memusnahkan hampir sejuta kediaman.
AFP sebelum ini menafikan satu lagi dakwaan palsu mengenai banjir monsun baru-baru ini di Pakistan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami