'Scammer' guna video AI menyamar sebagai pegawai imigresen dalam sindiket pasport Indonesia

Penipu dalam talian di Malaysia menyasarkan warga Indonesia yang ingin memohon dokumen imigresen menggunakan video janaan kecerdasan buatan (AI) dan akaun WhatsApp palsu yang menyamar sebagai pegawai imigresen kedua-dua negara itu. Akaun terbabit telah menipu pengguna dengan mengenakan caj perkhidmatan permohonan pasport dan visa yang lebih tinggi.

"Saya atas nama Jeya, selaku pejabat imigrasi Malaysia Kuala Lumpur nak kongsikan dekat anda semua, yang nak buat passport, permit, visa dan nak buat dokumen lainnya sila mesej kat WhatsApp Pak Anton Helistiawan. In syaa Allah, beliau boleh bantu korang semua," kata seorang lelaki beruniform Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu video TikTok pada 17 Julai.

Anton Helistiawan merupakan seorang bekas atase imigresen di Kuala Lumpur. Satu imej timbunan pasport Indonesia ditindih pada video TikTok itu.

Image
Tangkapan skrin siaran TikTok palsu yang diambil pada 21 Ogos 2025, dengan tanda merah X ditambah AFP

AFP menghubungi nombor telefon yang diletakkan pada bio akaun yang berkongsi klip itu. Ia membawa kepada akaun WhatsApp dengan imej Anton sebagai gambar profilnya.

Individu yang menyamar sebagai pegawai itu memberikan satu borang pesanan yang meminta butiran peribadi, termasuk nama penuh, alamat penghantaran dan gambar pasport. Mereka juga menyediakan senarai harga untuk perkhidmatan permohonan dokumen antara RM700 hingga RM900.

AFP menemui beberapa akaun TikTok menyamar sebagai pegawai imigresen Malaysia berkongsi video yang menyebut pegawai imigresen Indonesia, Anton. Semua akaun terbabit dipautkan ke nombor telefon WhatsApp yang sama.

Klip serupa yang memaparkan pegawai imigresen lain mengulangi dakwaan yang sama, iaitu menggesa pengguna menghubungi Anton untuk permohonan pasport dan visa.

Namun, semua video tersebut mengandungi visual tidak konsisten yang menunjukkan ia telah dimanipulasi menggunakan AI, seperti kelipan mata dan pergerakan mulut yang janggal, serta gangguan dalam audio video itu.

Ketika terdapat kemajuan meteorik dalam alat manipulasi AI, tanda seperti tidak konsistenan tersebut masih kekal sebagai cara yang betul untuk melihat visual yang telah diubah menggunakan AI.

Carian imej terbalik dan kata kunci mendapati klip yang dimanipulasi itu sebelum ini pernah dikongsi sebagai gambar pegun oleh seorang pengguna TikTok bernama @bpjeya pada 15 Oktober 2024 (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara klip yang dimanipulasi (kiri) dan imej tulen pengguna TikTok (kanan)

Carian seterusnya pada akaun tersebut mendapati pengguna akaun itu telah memuat naik video menunjukkan tangkapan skrin akaun-akaun yang menyamar sebagai akaunnya dan melabelkannya sebagai "palsu" dalam siaran pada 5 Ogos (pautan arkib).

Sementara itu, seorang jurucakap kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memberitahu AFP pada 20 Ogos bahawa tiada pegawai terkini di agensi itu yang bernama "Anton Helistiawan".

"Penipuan itu menyasarkan individu yang tidak dapat membezakan sama ada video itu dijana AI atau tidak dan mereka yang terdesak untuk memiliki pasport Indonesia bagi tujuan mendapatkan pekerjaan di sini," katanya.

Harga sebenar yang telah ditetapkan kedutaan bagi permohonan pasport adalah mencecah sehingga RM100, jauh lebih rendah daripada harga yang diberi di WhatsApp kepada AFP oleh individu yang meyamar sebagai pegawai itu (pautan arkib).

Jurucakap itu juga berkata satu-satunya saluran untuk perkhidmatan imigresen adalah melalui janji temu dalam talian dengan kedutaan, bukannya komunikasi melalui nombor peribadi WhatsApp atau dengan mana-mana pihak ketiga. 

AFP berulang kali menafikan akaun penipu yang menawarkan untuk membuat sijil akademik dan "lesen memandu tanpa ujian" serta video palsu pegawai kerajaan Indonesia yang kononnya menawarkan "bantuan tunai" di media sosial.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami