Siaran keliru dakwa Liga Perdana Inggeris 'haramkan' lilitan kapten dan tali kasut warna pelangi

  • Diterbitkan pada hari 08/09/2025 jam 10:34
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak mengharamkan lilitan kapten dan tali kasut berwarna pelangi, bertentangan dengan siaran keliru yang mendakwa liga tersebut telah mengambil langkah itu untuk musim 2025-2026. Lilitan dan tali kasut tersebut sebelum ini merupakan sebahagian daripada kerjasama liga tersebut dengan NGO LGBTQ, Stonewall, yang telah tamat. Walaupun tiada peraturan terhadap pemain yang ingin memakai tali kasut pelangi, ketua pasukan bola sepak liga itu bersetuju bahawa lilitan lengan hanya akan menampilkan logo Liga Perdana.

"Liga Perdana Inggeris menggumumkan pengharaman lilitan kapten dan tali kasut berwarna pelangi untuk musim baru 2025-2026," bunyi siaran Facebook pada 9 Ogos 2025. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 5 September 2025 dengan X jingga ditambah oleh AFP

Ketua pasukan bola sepak Liga Perdana telah memakai lilitan berwarna pelangi untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap golongan LGBT dalam sukan bola sepak (pautan arkib). 

Namun ia tidak mendapat sokongan daripada beberapa pemain, seperti ketua pasukan Ipswich Town, Sam Morsy, yang beragama Islam dan ketua pasukan Crystal Palace Marc Guehi yang menulis "Saya sayang Jesus" pada lilitan tersebut ketika perlawanan bola sepak pada Disember 2024 (pautan arkib). 

Akhbar Inggeris The Telegraph melaporkan pada 8 Ogos bahawa ketua pasukan liga tersebut telah bersetuju untuk tidak memakai lilitan tersebut dan lilitan baru hanya akan menunjukkan logo Liga Perdana (pautan arkib). 

Dakwaan serupa tentang larangan tersebut tular di Facebook, dengan banyak komen menyebarkan sentimen anti-LGBTQ dan memuji larangan itu.

Seorang pengguna berkata: "Sudah2 lah agenda nak paksa org terima LGBTQ ni. Sampai ada pemain yg menolak kena tindakan dari penganjur liga."

Seorang lagi berkata: "Sangat Bagus. Takda kaitan dgn aktiviti kecergasan pun. Malah LGBT bercanggah dgn dunia kesihatan."

Apabila dihubungi, jurucakap liga tersebut mengarahkan AFP kepada temubual BBC bersama Richard Masters, Ketua Eksekutif Liga Perdana Inggeris, yang berkata kerjasama antara liga itu dan Stonewall "berakhir secara semula jadi" (pautan arkib).

“Pada Februari, kami akan mengumumkan rancangan baharu untuk mengulangi mesej ringkas mengenai sokongan terhadap golongan LGBTQ, bahawa semua orang dialu-alukan dalam bola sepak dan semua orang dialu-alukan di Liga Perdana.

"Kami tidak mengambil langkah ke belakang, malah satu langkah ke sisi. Kami mengambil langkah ke hadapan dengan suara kami sendiri," kata Masters kepada BBC.

Menurut peraturan liga tersebut, kapten pasukan hanya boleh memakai lilitan yang dibenarkan oleh penganjur atau lilitan yang berwarna tunggal. Tetapi peraturan itu tidak mengharamkan lilitan atau tali kasut berwarna pelangi (pautan arkib). 

AFP telah menafikan dakwaan serupa bahawa pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo enggan memakai lilitan pelangi semasa menjadi kapten mewakili negaranya semasa Euro 2020.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami