
Tiada bukti saintifik tombong kelapa boleh rawat penyakit buah pinggang
- Diterbitkan pada hari 11/09/2025 jam 04:47
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"PETUA MERAWAT SAKIT BUAH PINGGANG," bunyi teks pada satu gambar yang menunjukkan beberapa tombong kelapa, dikongsi pada 4 Ogos 2025 di Facebook.
Kapsyen panjang itu mencadangkan cara penyediaan ubat semula jadi dengan meminum air perahan tombong kelapa selama dua minggu.

Petua lama itu telah berulang kali muncul dalam talian, dengan siaran-siaran dikongsi sejak tahun 2018.
Pakar perubatan bagaimanapun memberitahu AFP tiada bukti saintifik untuk menyokong rawatan penyakit buah pinggang itu menggunakan tombong kelapa.
Dr Thurein Hlaing Win, pengurus negara laman web kesihatan Myanmar, Hello Sayarwon, memberitahu AFP bahawa walaupun beberapa penyakit buah pinggang -- seperti kecederaan buah pinggang akut (AKI) -- boleh dirawat dengan intervensi perubatan yang betul, penyakit buah pinggang kronik (CKD) tidak dapat dipulihkan (pautan arkib).
"Dalam kedua-dua kes itu, tiada kajian boleh dipercayai yang menunjukkan produk kelapa boleh berfungsi sebagai penawar," katanya pada 31 Ogos.
Dr Lily Mushahar, seorang pakar nefrologi di Hospital Tuanku Ja'afar Seremban memberitahu AFP bahawa individu yang menghidap penyakit buah pinggang sepatutnya mengelak daripada mengambil terlalu banyak air kelapa kerana ia mengandungi paras potasium yang tinggi (pautan arkib).
"Potasium yang sangat tinggi dalam darah adalah berbahaya dan boleh menyebabkan ketidakstabilan pada rentak jantung," katanya pada 31 Julai.
Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Amerika Syarikat juga memberi amaran terhadap penggunaan potasium yang berlebihan daripada makanan seperti kelapa (pautan arkib).
"Pengambilan potasium yang banyak boleh memudaratkan kesihatan anda jika fungsi buah pinggang anda merosot," kata kumpulan itu di laman webnya. "Hadkan potasium dalam diet anda jika paras darah anda terlalu tinggi."
Thurein dan Lily berkata pengurusan perubatan yang betul adalah penting untuk merawat penyakit buah pinggang dan bergantung pada rawatan yang tidak terbukti atau sumber yang tidak bertauliah boleh menyebabkan kelewatan yang berbahaya dalam menerima rawatan.
Thurein berkata pakar diet buah pinggang boleh menyediakan pelan pemakanan yang khas untuk membantu mengekalkan fungsi buah pinggang dan kesihatan keseluruhan sambil mengawal pengambilan mineral seperti potasium.
Tambah Lily: "Individu yang mempunyai penyakit buah pinggang perlu menjalani rawatan susulan yang berkala dengan doktor atau pakar nefrologi bertauliah untuk memantau ujian darah dan air kencing."
AFP tidak menemui bukti lain bahawa tombong kelapa membantu merawat penyakit buah pinggang.
AFP sebelum ini telah menyemak fakta mengenai petua-petua kesihatan yang lain seperti di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami