Siaran palsu guna gambar tak berkaitan dakwa anggota IDF ditahan polis Belanda

  • Diterbitkan pada hari 03/09/2025 jam 04:43
  • Durasi bacaan 5 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Gambar tidak berkaitan tular dalam siaran palsu yang mendakwa ia menunjukkan polis Belanda menahan anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang berada di negara itu. Gambar-gambar itu pernah dikongsi dalam laporan dan siaran lama, tetapi individu dalam gambar tersebut tidak dikenalpasti sebagai anggota IDF. Jurucakap polis Belanda turut memberitahu AFP bahawa tiada seorang pegawai polis yang dilihat dalam gambar-garbar tersebut memakai pakaian seragam rasmi mereka. 

"Polis Belanda menahan Mejar Jeneral Israel Shaitan Shaul, komander kor perisai, pagi ini atas tuduhan melakukan jenayah perang di Rafah," bunyi siaran Facebook pada 14 August 2025 yang menyertakan gambar seorang lelaki bergari diiringi polis. 

Menurut siaran tersebut, lelaki itu ditahan ketika menikmati percutian musim panasnya di The Hague.

Tambahnya, polis Belanda sedang menjalankan "kempen pendakwaan yang meluas terhadap semua pegawai dan tentera Israel selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan keputusan yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Netanyahu". 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 24 Ogos 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Akaun Facebook yang sama juga telah berkongsi gambar lain dengan dakwaan serupa yang ia menunjukkan pihak berkuasa Belanda menahan pegawai dan tentera Israel.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu yang ditangkap pada 1 September 2025, dengan X merah ditambah oleh AFP

Tetapi, carian imej terbalik mendapati individu dalam gambar-gambar tersebut tidak ada kaitan dengan IDF. 

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga tidak mengeluarkan sebarang keputusan mengenai Netanyahu. Tetapi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan mantan menteri pertahanan Yoav Gallant atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang (pautan arkib). 

Serangan Hamas yang menyebabkan perang tercetus telah mengorbankan 1,219 nyawa, kebanyakannya orang awam menurut kiraan AFP berdasarkan angka Israel.

Serangan balas Israel telah mengorbankan sebanyak 63,557 warga Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka dari kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas. 

Gambar tidak berkaitan

Gambar pertama yang menunjukkan lelaki bergari diiringi polis diterbitkan oleh akhbar The Telegraph dan The Sun yang mengenalpasti lelaki itu sebagai Johnny Morissey, seorang warga UK yang ditahan di Sepanyol pada 2022 kerana peranannya sebagai penguatkuasa kartel (pautan arkib di sini dan di sini). 

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan imej daripada laporan The Telegraph pada September 2022 (kanan)

Gambar kedua yang menunjukkan seorang pegawai polis menggari seorang wanita yang tertiarap pula diterbitkan oleh pengguna bernama AshnaGopal pada DeviantArt, sebuah platform bagi artis digital, pada 1 Jun 2025 (pautan arkib).

Pemilik akaun tersebut memberitahu AFP gambar tersebut diambil di United Kingdom. Individu yang menangkap gambar itu tidak menyiarkannya di tempat lain tetapi memberi kebenaran kepada pengguna DeviantArt untuk berkongsinya di akaunnya.

"Ini sebenarnya gambar latihan polis. Wanita yang tertiarap itu adalah sukarelawan. Anda boleh lihat mereka sebenarnya berada di gim dengan lantai buih," kata pemilik akaun itu kepada AFP pada 25 Ogos.

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan imej yang disiarkan pada DeviantArt (kanan)

Gambar yang menunjukkan seorang wanita diiringi dua lelaki pula pernah diterbitkan oleh The Daily Mail pada Ogos 2016 dalam satu laporan mengenai orang ramai yang mabuk ketika cuti umum di Newcastle (pautan arkib). 

Kapsyen gambar itu juga tidak merujuk kepada wanita itu sebagai tentera Israel.

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan imej yang diterbitkan oleh The Daily Mail pada 2016 (kanan)

Gambar yang menunjukkan seorang wanita menutup mukanya pula diterbitkan pada September 2019 oleh akhbar Jerman Rheinische Post yang mengenalpasti wanita itu sebagai pempengaruh Instagram yang didakwa menyuntik pengisi secara haram ke bibir dan hidung orang (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan imej yang diterbitkan oleh Rheinische Post pada 2019

Jurucakap polis Belanda, Lilian Scholten, memberitahu AFP bahawa "tiada pegawai yang memakai pakaian seragam Belanda dapat dilihat" pada siaran palsu yang disiarkan. 

Anggota polis di Belanda secara amnya memakai pakaian seragam biru gelap dengan jalur kuning terang mendatar di bahagian dada dan bahu. Mereka juga dilengkapi dengan tali pinggang utiliti dan kamera badan atau peralatan lain (pautan arkib).

Image
Perbandingan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dan foto yang menunjukkan polis Belanda memakai pakaian seragam rasmi mereka (kanan)

Pihak berkuasa Belanda di Antwerp telah menahan dua warganegara Israel yang menghadiri festival muzik Tomorrowland pada Julai 2025 selepas mereka dituduh melakukan jenayah perang oleh kumpulan pro-Palestin (pautan arkib). Nama mereka tidak didedahkan kepada umum.

AFP telah berulang kali menafikan dakwaan palsu dan mengelirukan tentang perang di Gaza.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami