
Tiada kaitan antara vaksin MMR dan autisme walaupun penyelidik kajian ditahan
- Diterbitkan pada hari 01/10/2025 jam 10:41
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Marisha GOLDHAMER, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia , Raevathi SUPRAMANIAM
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Masihkah kita mahu percaya bulat-bulat pada kajian yang dibayangi penipuan?" bunyi siaran Facebook pada 17 September 2025.
Siaran itu menyertakan poster yang menyatakan Thorsen dikehendaki oleh pihak berkuasa.

Siaran serupa disiarkan di sini dan di sini. Ia juga dikongsi dalam bahasa Perancis dan Sepanyol.
Pada April 2011, Thorsen telah didakwa atas 22 pertuduhan penipuan dan pengubahan wang haram. Peguam Amerika Syarikat Sally Quillian Yates berkata Thorsen didakwa "merancang skim untuk mencuri lebih $1 juta wang geran CDC yang diperuntukkan untuk penyelidikan autisme" (pautan arkib).
Thorsen ditahan pada 4 Jun 2025 di Jerman dan Amerika Syarikat sedang menuntut ekstradisinya, menurut notis daripada Pejabat Inspektor Jeneral Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) (pautan arkib).
Dakwaan yang mengaitkan Thorsen dan vaksin MMR tular selepas penahanannya disiarkan semula oleh portal berita sayap kanan Breitbart.
Siaran itu tertumpu pada artikel yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine pada 2002 bertajuk: "Kajian Berasaskan Populasi mengenai Vaksinasi Campak, Beguk dan Rubella dan Autisme." Pengarang kertas kajian itu membuat kesimpulan: "Kajian ini memberikan bukti kukuh terhadap hipotesis bahawa vaksinasi MMR tidak menyebabkan autisme."
Penulis utama kajian itu Kreesten Madsen memberitahu AFP bahawa Thorsen tidak memainkan peranan utama dalam projek itu dan tidak pernah mempunyai akses kepada datanya. Sebaliknya, dia hanya menjadi penghubung kepada CDC, salah satu agensi yang membiayai penyelidikan itu (pautan arkib).
"Idea dan konsep penyelidikan adalah milik saya," kata Madsen kepada AFP dalam emel pada 19 September. Tambahnya: "Pemerolehan, analisis pertama, dan tafsiran data dilakukan tanpa Poul Thorsen."
Kata Madsen, beliau mempunyai "keyakinan penuh" dalam penyelidikannya dan mengalu-alukan orang lain untuk mengulang kajian dengan set data yang lebih besar.
The New England Journal of Medicine (NEJM) juga memberitahu AFP bahawa jurnal itu tidak menemui sebarang isu dengan kertas penyelidikan itu, walaupun Thorsen didakwa.
"Penemuan kajian itu kekal sah dan konsisten dengan penyelidikan seterusnya yang meluas yang menunjukkan tiada kaitan antara vaksinasi MMR dan autisme," kata jurucakap NEJM dalam emel pada 20 September.
David Mandell, pengarah Pusat Penn untuk Kesihatan Mental di Fakulti Perubatan Universiti Pennsylvania, memberitahu AFP bahawa beliau menyemak metodologi kertas itu (pautan arkib).
"Kaedahnya sangat konsisten dengan apa yang kita fikirkan sebagai sains berkualiti tinggi," katanya pada 22 September.
"Bawa dia ke muka pengadilan kerana mencuri wang geran daripada CDC. Tetapi jangan keliru dengan kesahihan sains yang telah dilakukan oleh kumpulan ini dan banyak kumpulan lain."
Tiada kaitan antara vaksin dan autisme
Menurut HHS, Gangguan Spektrum Autisme (ASD) diklasifikasikan sebagai ketidakupayaan perkembangan.
"Ia mempengaruhi cara orang berinteraksi dengan orang lain, berkomunikasi, belajar dan kelakuan. ASD dipanggil gangguan 'spektrum' kerana jenis simptom yang berbeza," kata agensi itu di laman webnya (pautan arkib).
Maklumat salah yang mengaitkan vaksin MMR dan autisme berpunca daripada kertas penyelidikan Andrew Wakefield yang diterbitkan pada 1998.
Pada tahun 2010, Majlis Perubatan Umum UK membatalkan lesen Wakefield atas salah laku profesional (pautan arkib). The Lancet turut menarik balik kajian tersebut setelah siasatan mendapati data dimanipulasi (pautan arkib di sini dan di sini).
Penyelidikan seterusnya yang dijalankan oleh Hospital Kanak-kanak Philadelphia pada 2009 dan kajian CDC pada 2013 juga tidak menunjukkan sebarang kaitan antara vaksin MMR dan autisme (pautan arkib di sini dan di sini).
Selepas mengkaji semua aspek termasuk jenis vaksin, bila ia diberi dan kombinasi yang diberi, Mandell berkata kajian sebenarnya menunjukkan bahawa punca utama autisme adalah genetik.
"Menerusi semua kajian yang dilaksanakan, kami tidak nampak ada hubungan antara vaksin dan autisme."
AFP menyangkal maklumat salah mengenai vaksin di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami