Kenyataan larangan telefon pintar terhadap pelajar bawah 16 tahun adalah rekaan

Selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneliti cadangan melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah umur 16 tahun, satu kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh pejabatnya tular dengan dakwaan yang cadangan itu akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2026. Namun, kenyataan itu adalah rekaan dan Jabatan Perdana Menteri berkata dokumen yang tular itu adalah palsu. 

Kenyataan palsu itu, bertajuk "PERINTAH LARANGAN PENGGUNAAN TELEFON PINTAR BAGI INDIVIDU DI BAWAH UMUR 16 TAHUN", dikongsi di Facebook pada 29 Oktober 2025.

Dokumen yang beredar dalam talian itu memaparkan jata negara dan dilihat seperti dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Kapsyen pada siaran itu mengulangi sebahagian daripada perintah itu yang mendakwa larangan itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 dan denda tidak melebihi RM5,000 akan dikenakan untuk kesalahan kedua selepas menerima amaran bertulis rasmi pertama.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 3 November 2025 dengan tanda X merah ditambah AFP

Dokumen sama turut dikongsi dalam siaran Instagram dan TikTok.

Ia tersebar selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pada 17 Oktober lalu bahawa Kabinet telah berbincang untuk meningkatkan pemantauan keselamatan para pelajar susulan beberapa kes tingkah laku ganas -- termasuk dakwaan buli, bunuh dan rogol -- di sekolah (pautan arkib di sini, sini, sini dan sini). 

Antara langkah yang dibangkitkan beliau adalah cadangan untuk melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah.

Sinar Harian memetik pemimpin itu sebagai berkata: "Kita juga dapati kesan pengaruh media sosial dan aplikasi permainan dalam talian dan kadang-kadang menjurus kepada banyak tindakan-tindakan yang jenayah. Itu sebab kita akan ambil tindakan melarang penggunaan telefon pintar untuk pelajar-pelajar umur 16 tahun ke bawah."

Kata Anwar, cadangan itu masih dalam "penelitian" dan tidak memberikan butiran lanjut mengenai skop larangan yang dicadangkan itu (pautan arkib).

Setakat 5 November, tiada pengumuman rasmi mengenai larangan sedemikian yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2026.

Carian kata kunci di Google mendapati JPM melabelkan pengumuman yang beredar itu sebagai "palsu" dalam kenyataan di Facebook rasminya pada 27 Oktober (pautan arkib).

"Untuk makluman bersama, Jabatan ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan perkara ini," katanya.

Image
Tangkapan skrin kenyataan Jabatan Perdana Menteri di Facebook

Analisis terhadap kenyataan yang beredar di media sosial itu juga menunjukkan tipografi dan reka bentuknya berbeza daripada kenyataan tulen yang pernah dikeluarkan oleh JPM (pautan arkib).

Jenis tulisan dan penjajaran teks pada kepala surat dokumen yang dikongsi secara salah itu adalah berbeza, ia mengandungi kesalahan ejaan dan tidak mempunyai logo "Malaysia Madani". 

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara kenyataan yang direka (kiri) dan dokumen JPM tulen (kanan)

AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah lain yang tersebar berikutan beberapa insiden keganasan di sekolah-sekolah negara ini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami