Pakar ingatkan ibu bapa jangan bergantung pada rawatan demam tidak terbukti dengan bawang
- Diterbitkan pada hari 03/11/2025 jam 09:55
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Pakar kesihatan berkata tiada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan dalam talian bahawa bawang boleh meredakan demam dan batuk. Menurut para pakar, bergantung semata-mata pada rawatan tidak terbukti untuk menyembuhkan gejala penyakit pada bayi dan kanak-kanak boleh membawa kepada komplikasi yang serius.
"Salah 1 solution untuk anak-anak demam n tidak sihat.letakkan bawang ditapak kaki n pakaikan stokin," tulis sebahagian kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 21 Oktober 2025.
Siaran serupa yang mendakwa petua itu boleh digunakan untuk menghilangkan kahak dan batuk juga dikongsi di tempat lain di Facebook dan TikTok.
Tetapi, sama seperti petua lama lain yang tersebar di media sosial dan disangkal oleh AFP, pakar berkata tiada bukti saintifik untuk menyokong rawatan itu.
Dr Faisal Mohd Fadzli, seorang pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL memberitahu AFP pada 14 Oktober, "Tiada kajian yang dilakukan khususnya mengenai kesan bawang yang diletakkan pada kulit dalam merawat batuk, selsema atau demam" (pautan arkib).
"Kajian lanjut mengenai sistem penyampaian ubat lanjutan mengesahkan bahawa penyerapan melalui kulit yang berkesan adalah proses yang rumit yang tidak dicapai melalui hanya dengan semudah sentuhan kulit."
Beliau seterusnya berkata terdapat "pilihan lain, lebih sesuai, lebih selamat dan lebih baik" untuk merawat keadaan kesihatan itu.
"Sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mencuba sebarang petua tradisional atau buatan di rumah."
Dr Thurein Hlaing Win, pengurus negara laman web kesihatan Myanmar, Hello Sayarwon, juga berkata petua itu tidak disokong oleh pakar pediatrik atau garis panduan perubatan (pautan arkib).
"Tiada mekanisme yang diketahui untuk sebatian bawang menghasilkan kesan penyembuhan secara sistemik melalui tapak kaki," katanya kepada AFP dalam e-mel pada 22 Oktober.
Beliau menambah bergantung semata-mata pada rawatan untuk bayi yang tidak terbukti ini berisiko mengalami komplikasi serius akibat demam yang tidak dirawat atau penyakit melibatkan pernafasan.
Menurut nasihat Mayo Clinic, ibu bapa sepatutnya menghubungi pusat kesihatan terdekat jika bayi mereka yang berusia kurang tiga bulan mengalami demam atau jika bayi yang lebih tua mengalami suhu melebihi 38 darjah Celsius (pautan arkib).
"Rawatan perubatan ditentukan berdasarkan punca dan melibatkan strategi yang berasaskan bukti, seperti dos ubat yang sesuai untuk menurunkan suhu demam (mengikut arahan doktor) dan penjagaan sokongan," tambah Dr Thurein.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami