Klip 'kebakaran tren laluan Ampang' dijana AI

Satu video yang kononnya sebuah tren terbakar tular dengan dakwaan ia menunjukkan kebakaran melibatkan sebuah koc LRT di laluan Ampang. Namun, Prasarana Malaysia Berhad berkata video itu adalah palsu dan tiada insiden dilaporkan di mana-mana laluan yang dikendalikannya. Analisis AFP juga mendapati video itu mempunyai anomali visual yang konsisten dengan kandungan dijana menggunakan kecerdasan buatan.

"#kebakaran train laluan ampang terbakar masih dlm siasatan punca kebakaran," bunyi siaran TikTok pada 3 November 2025. 

Video tersebut mengulangi klip yang menunjukkan sebuah tren terbakar dengan pasukan bomba cuba memadamkan api. Teks pelekat pada video itu berbunyi: "KEBAKARAN TRAIN LALUAN AMPANG".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 4 November 2025 dengan X merah ditambah oleh AFP

Komen-komen pada siaran yang berkongsi klip itu menunjukkan bahawa pengguna percaya kebakaran itu benar-benar berlaku. 

"Apa pulak alasan yang akan diberi oleh Anthony Loke kali ini?" tulis satu komen.

Seorang lagi pengguna berkata: "Mudah2an semua Rakyat Malaysia selalu dlm lindungan Allah."

Namun, setakat 5 November, tiada laporan rasmi atau kenyataan mengenai kebakaran dalam rangkaian LRT.

Carian kata kunci di Google membawa kepada siaran palsu serupa yang berkongsi klip tersebut, termasuk video TikTok yang memaparkan tera air pembantu AI Google, Gemini.

"Semua imej yang dicipta atau disunting dalam aplikasi Gemini mengandungi tera air yang boleh dilihat, serta tera air digital SynthID yang tidak kelihatan, untuk menunjukkan dengan jelas bahawa ia dijana AI," menurut satu kiriman blog Google mengenai penyuntingan imej dengan Gemini (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin video yang dikongsi secara palsu dengan tera air Gemini di penjuru kanan bawah, ditanda AFP.

Analisis terhadap video itu juga menunjukkan ia mengandungi anomali visual yang merupakan ciri-ciri kandungan yang dijana oleh AI.

Pasukan bomba dalam video itu dilihat memakai pakaian seragam yang berbeza daripada pakaian rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang berwarna jingga. Selain itu, muncung yang dipegang oleh seorang anggota bomba ketika memadamkan api kelihatan tidak disambungkan kepada hos.

Image
Perbandingan tangkapan skrin anggota bomba yang dilihat dalam video palsu (kiri) dan gambar AFP menunjukkan anggota bomba Malaysia sedang memadamkan kebakaran (kanan)

Prasarana turut mengeluarkan kenyataan di akaun Facebook rasminya pada 3 November yang mengesahkan tiada kebakaran berlaku (pautan arkib).

"Prasarana menegaskan bahawa video yang sedang tular di media sosial berkaitan insiden yang kononnya melibatkan sebuah gerabak tren Laluan Ampang adalah tidak benar sama sekali," katanya. 

Tambahnya, semua tren dan kemudahan beroperasi seperti biasa dan memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai.

Image
Tangkapan skrin kenyataan Prasarana diambil pada 3 November

AFP sebelum ini telah menafikan imej dan video yang melibatkan kemalangan dan bencana yang dijana AI. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami