Imej Perang Vietnam disalah kaitkan dengan Jeffrey Epstein

Seorang Ahli Parlimen Turki menggesa siasatan terhadap dakwaan Jeffrey Epstein memperdagangkan gadis bawah umur dari Turki ketika fail berkaitan pesalah seksual itu bakal didedahkan. Namun, beliau sebenarnya merujuk kepada kes mahkamah lama difailkan di Florida, Amerika Syarikat (AS). Dalam masa sama, siaran dalam talian turut menyebarkan imej yang secara salah mendakwa ia menunjukkan bayi yang diculik Epstein dari negara Mediterranean itu. Semakan mendapati gambar itu tiada sebarang kaitan dengan Epstein, sebaliknya ia adalah arkib AS mengenai pemindahan bayi Vietnam ketika kejatuhan Saigon pada 1975.

"CULIK -DARI FAIL EPSTEIN Mereka menculik gadis-gadis dari Turki semasa gempa bumi tahun 1999. Kami mendapat $300 untuk setiap kanak-kanak yang kami culik," bunyi siaran Facebook pada 2 Februari 2026 yang berkongsi imej deretan bayi diletakkan di dalam kotak bersama seorang wanita.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook diambil pada 30 Januari 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Imej serupa itu tular dalam siaran Facebook  di India, Nigeria dan Indonesia ketika Jabatan Kehakiman AS mendedahkan jutaan dokumen daripada siasatannya terhadap Epstein, yang meninggal dunia di penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan memperdagangkan gadis bawah umur (pautan arkib). 

Pendedahan terbaharu itu melibatkan tokoh berprofil tinggi, sekali gus menonjolkan rangkaian pengaruh global pembiaya itu. 

Pendedahan sebelum ini mendedahkan hubungan Epstein dengan eksekutif perniagaan terkemuka, selebriti, ahli akademik dan ahli politik, termasuk bekas pemimpin AS Bill Clinton dan Presiden Donald Trump.

Sebutan nama seseorang dalam fail Epstein semata-mata tidak bermakna individu tersebut melakukan sebarang salah laku. 

Namun, dokumen yang didedahkan kepada umum sekurang-kurangnya menunjukkan wujudnya hubungan antara Epstein dengan beberapa tokoh awam yang sebelum ini sering memperkecilkan -- atau bahkan menafikan -- kewujudan hubungan tersebut. 

Di Turki, Ahli Parlimen Turhan Comez menggesa siasatan dijalankan dengan berkongsi dokumen yang menonjolkan baris ayat berbunyi: "Berdasarkan maklumat dan kepercayaan, Defendan (Epstein) membawa gadis bawah umur dari Turki, Republik Czech, Asia dan pelbagai negara lain, kebanyakannya tidak bertutur dalam bahasa Inggeris." 

Ketika dia tidak menyebut dokumen-dokumen daripada Jabatan Kehakiman, gesaannya itu menyatakan bukti daripada kes mahkamah lama yang difailkan di Florida.

Kes di Florida 

Carian kata kunci menggunakan nombor kes yang tertera pada dokumen mendapati ia diambil daripada kes sivil terhadap Epstein yang difailkan di mahkamah daerah Florida pada Mei 2009. 

Fail mahkamah tersebut -- yang telah didedahkan kepada umum sebelum fail baru dikeluarkan -- memperincikan dakwaan serangan seksual dan eksploitasi terhadap gadis muda termasuk pengadu yang dirujuk sebagai "Jane Doe No. 102". 

Menurut arkib pangkalan data undang-undang Court Listener, pihak-pihak terlibat bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut dan ia kemudian digugurkan (pautan arkib). 

"Jane Doe No. 102" kemudiannya dikenal pasti dalam kes mahkamah berasingan sebagai Virginia Giuffre, warganegara AS dan Australia serta salah seorang penuduh utama Epstein, yang membunuh diri pada April 2025 (pautan arkib).

Selama hampir 15 tahun, Giuffre bercakap tentang dakwaan beliau dirogol oleh Epstein ketika masih bawah umur dan mendakwa dieksploitasi secara seksual oleh beberapa rakan berpengaruh pembiaya itu, termasuk bekas putera Britain, Andrew. 

Gambar disalah guna

Bertentangan dengan siaran yang tular itu, gambar bayi di dalam kotak itu tidak ada kaitan dengan Epstein. 

Carian imej terbalik membawa kepada satu artikel di laman web Agensi Perisikan Pertahanan AS (DIA) bertarikh 3 April 2014 yang memperingati pemindahan bayi Vietnam pada 1975, dikenali sebagai Operasi Babylift, selepas kejatuhan Vietnam Selatan pada tahun tersebut (pautan arkib ). 

Carian lanjut dalam galeri DIA menemui imej yang tersebar itu diterbitkan dengan kapsyen: "Lebih 3,000 anak yatim Vietnam dipindahkan dari Saigon sepanjang April 1975 semasa Operasi Babylift" (pautan arkib). Foto itu dikreditkan kepada Pentadbiran Arkib dan Rekod Negara AS.

Pada hari-hari terakhir Perang Vietnam, AS memindahkan ribuan kanak-kanak keluar dari Saigon melalui operasi udara. 

Dalam pemindahan besar-besaran yang kontroversial itu, kira-kira 3,000 kanak-kanak diterbangkan keluar dari Vietnam untuk dijadikan anak angkat oleh keluarga dari Amerika hingga Sweden. 

Image
Tangkapan skrin Agensi Perisikan Pertahanan Amerika Syarikat yang diambil pada 9 Februari 2026

AFP sebelum ini turut menafikan siaran palsu lain mengenai fail Epstein

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami