Imej janaan AI cetus teori konspirasi mengenai Epstein
- Diterbitkan pada hari 12/02/2026 jam 09:13
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Bill MCCARTHY, AFP Amerika Syarikat
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan dokumen berkaitan siasatan terhadap pesalah seksual Jeffrey Epstein, yang ditemui mati di sel penjara ketika menunggu perbicaraan pada 2019, pengguna media sosial mendakwa satu imej yang kononnya diambil di Israel menunjukkan pembiaya itu masih hidup dengan rambut panjang dan berjanggut. Namun, imej tersebut adalah rekaan; versi asal yang yang disiarkan di Reddit mengandungi tera air Gemini milik Google, bersama petunjuk lain bahawa ia dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
"Gambar-gambar yang diambil di Israel menunjukkan apa yang kelihatan seperti Jeffrey Epstein dengan solekan baharu dan ditemani oleh dua orang pengawal peribadi," bunyi siaran Facebook pada 6 Februari 2026.
Teks pelekat pada siaran itu pula berkata: "Kan Dah ckp Dia tak mati lagi si Epstein".
Siaran serupa tular di Facebook dan Instagram selepas kerajaan Amerika Syarikat pada 30 Januari mendedahkan lebih tiga juta dokumen baharu yang menyebut ramai tokoh berpengaruh, termasuk Presiden Donald Trump.
Teori konspirasi mengenai Epstein tersebar luas dalam talian sejak dia meninggal dunia di penjara pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks.
Laporan Jabatan Kehakiman pada 2023 menyatakan bahawa hasil bedah siasat mendapati "punca kematian Epstein adalah gantung diri dan cara kematian adalah bunuh diri" -- satu fakta yang telah berulang kali ditegaskan oleh pihak berkuasa sejak itu (pautan arkib).
Tetapi, imej yang tersebar dalam talian bukanlah bukti bahawa beliau masih hidup seperti yang didakwa oleh netizen.
Carian imej terbalik di Google menemui versi tidak dipotong bagi imej yang sama yang memaparkan tera air Google Gemini -- termasuk apa yang kelihatan sebagai versi terawal yang dimuat naik pada 1 Februari 2026 ke forum Reddit "r/hardaiimages" (pautan arkib).
Menerusi ruangan komen yang membalas pengguna lain yang bertanya tentang sumber dan kesahihan imej itu, seorang pengguna yang memuat naik imej tersebut berkata "sesetengah orang lupa kita membincangkan topik apa sekarang" (pautan arkib).
"Tera air Gemini jelas ada di situ," tulisnya dalam satu komen.
Menerusi komen lain yang membalas pertanyaan sama ada pengguna terbabit telah menjana imej itu, pengguna Reddit itu menjawab: "Ya, saya yang hasilkannya menggunakan Gemini. Anda boleh lihat logo Gemini di bahagian bawah kanan setiap gambar. Saya tak sangka ia akan menjadi begitu tular" (pautan arkib).
Carian imej terbalik terhadap visual tersebut juga menunjukkan ia "dihasilkan dengan Google AI" dan Gemini mengesan SynthID -- tera air tidak kelihatan yang menurut Google bertujuan mengenal pasti kandungan AI yang dicipta menggunakan alatnya -- pada gambar berkenaan.
Petunjuk tambahan bahawa imej itu palsu dan dijana AI termasuk kesilapan pada kedudukan lampu hijau di bahagian atas lampu isyarat, serta papan tanda jalan yang mengandungi terjemahan bahasa Hebrew yang salah bagi "Tel Aviv" dan tidak memaparkan tulisan Arab seperti yang lazimnya terdapat pada papan tanda tersebut.
Gambar stok yan tulen menujukkan papan tanda bandar itu menunjukkan aksara Hebrew dan Arab yang berbeza (pautan arkib di sini dan di sini).
AFP sebelum ini turut menafikan maklumat palsu lain mengenai Epstein.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami