Ini imej lama Lady Gaga di pameran seni, tiada kaitan dengan Epstein
- Diterbitkan pada hari 13/02/2026 jam 09:53
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Timur Tengah & Afrika Utara
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Dokumen yang didedahkan oleh siasatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap Jeffrey Epstein menonjolkan rangkaian pengaruh global pembiaya itu. Namun, siaran media sosial yang mendakwa satu gambar daripada fail tersebut menunjukkan ikon pop Lady Gaga memakan daging manusia bersama Epstein sebenarnya berkongsi imej dari pameran seni di New York. Gambar itu beredar sejak Julai 2013.
"Kamu tahu apa yang Epstein sedang makan di sini?? Kamu tahu apa yang terbaring di sini?? Mereka menjamu selera dgn hidangan daging manusia," bunyi siaran Facebook pada 4 Februari 2026.
Imej yang dipaparkan menunjukkan penyanyi terkenal Lady Gaga dengan sudu pada mulutnya.
Turut kelihatan dalam imej itu ialah artis Serbia, Marina Abramovic yang sedang menghulurkan sudu ke arah figura berbentuk manusia yang terbaring dalam bekas diisi dengan cecair merah.
Imej itu juga tular di Instagram dan dikongsi dalam hantaran serupa dalam bahasa Perancis, Portugis dan Arab, dengan sesetengah pengguna mendakwa gambar itu diambil di "Pulau Epstein" di Caribbean.
Siaran itu tular selepas Jabatan Kehakiman AS mendedahkan jutaan dokumen daripada siasatannya terhadap Epstein, yang meninggal dunia di penjara New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan memperdagangkan gadis bawah umur (pautan arkib).
Pendedahan sebelum ini mendedahkan hubungan Epstein dengan eksekutif perniagaan terkemuka, selebriti, ahli akademik dan ahli politik, termasuk bekas pemimpin AS Bill Clinton dan Presiden Donald Trump.
Sebutan nama seseorang dalam fail Epstein semata-mata tidak bermakna individu tersebut melakukan sebarang salah laku.
Namun, dokumen yang didedahkan kepada umum itu sekurang-kurangnya menunjukkan wujudnya hubungan antara Epstein dengan beberapa tokoh awam yang sebelum ini sering memperkecilkan -- atau malah menafikan -- kewujudan hubungan tersebut.
Beberapa komen pada siaran yang tular menunjukkan orang ramai mempercayai gambar itu berkaitan dengan fail Epstein.
"Ni dah bukan manusia dah..ni dah tahap setan," tulis seorang pengguna.
"Mereka semua ini adalah iblis," kata seorang lagi pengguna.
Nama Lady Gaga disebut dalam beberapa emel yang didedahkan dalam fail Epstein yang terbaharu, namun hanya secara ringkas dengan merujuk kepada konsertnya pada 2011 di New York.
Sementara itu, Abramovic dirujuk dalam surat berita dan emel mengenai pameran seni beliau pada 2014.
Namun, imej yang tular itu tidak berkaitan.
Pameran seni
Carian imej terbalik di Google menemui gambar yang sama diterbitkan di Instagram pada 2 November 2024 (pautan arkib).
"Lady Gaga dan Marina Abramovic mengalami persembahan Lisa Lozano 'Funérailles de Miel' -- sebuah persembahan di mana tubuh manusia terendam dalam bekas bersaiz keranda berisi madu, mengajak penonton merasainya," menurut kapsyen itu.
Carian kata kunci seterusnya membawa ke laman web syarikat media visual Amerika, Getty Images (pautan arkib ).
Menurut kapsyen itu: "Lady Gaga dan Marina Abramovic menghadiri The 20th Annual Watermill Center Summer Benefit di The Watermill Center pada 27 Julai 2013 di Water Mill, New York."
Pameran amal itu -- dinamakan Devil's Heaven -- menampilkan patung hidup, kebanyakannya berbogel, yang membuat persembahan di seluruh kawasan Watermill Center di New York (pautan arkib ).
Gambar lain dari pameran itu juga diterbitkan oleh Getty Images, manakala imej yang menunjukkan bagaimana pameran itu dijalankan dimuat naik di akaun Flickr Watermill Center (pautan arkib di sini dan di sini ) .
Pameran itu juga dilaporkan oleh beberapa halaman ulasan seni dan masyarakat.
AFP sebelum ini turut menafikan siaran palsu lain mengenai fail Epstein.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami