E-mel rekaan dakwa Epstein pencipta bitcoin

Dokumen yang didedahkan daripada siasatan kerajaan Amerika Syarikat terhadap Jeffrey Epstein telah mencetuskan gelombang teori konspirasi, dengan hantaran dalam talian berkongsi satu e-mel rekaan yang mendakwa pesalah seks itu merupakan pencipta bitcoin. Mesej palsu itu mengandungi kesilapan format dan sebenarnya bertujuan sebagai satira, menurut penciptanya. Identiti Satoshi Nakamoto, nama samaran pencipta bitcoin, kekal misteri.

"Satoshi adalah Epstein...piii," bunyi siaran Facebook dikongsi pada 4 Februari 2026.

Hantaran itu memaparkan imej menunjukkan e‑mel daripada Epstein kepada rakan subahatnya dan bekas teman wanitanya, Ghislaine Maxwell, dengan subjek: "RE: Project ‘Bitcoin’ Funding and Whitepaper".

Dalam pertukaran mesej bertarikh 31 Oktober 2008 itu, Epstein memberitahu Maxwell bahawa "nama samaran Satoshi berfungsi dengan sempurna".

Tarikh tersebut sepadan dengan penerbitan kertas teknikal yang memperkenalkan bitcoin oleh Satoshi Nakamoto, yang identitinya masih tidak diketahui (arkib pautan di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 23 Februari 2026 dengan X merah ditambah oleh AFP

Dakwaan serupa turut dikongsi di Facebook, Instagram dan Threads selepas Jabatan Kehakiman AS mendedahkan dokumen terbaharu mengenai Epstein, yang meninggal dunia dalam penjara di New York pada 2019 ketika menunggu perbicaraan atas tuduhan pemerdagangan seks gadis bawah umur (pautan arkib).

Maxwell sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan pemerdagangan seks bawah umur selepas disabitkan pada 2022 kerana merekrut gadis bawah umur untuk Epstein (pautan arkib).

Pendedahan sebelum ini mendedahkan hubungan Epstein dengan eksekutif perniagaan terkemuka, selebriti, ahli akademik dan ahli politik, termasuk bekas pemimpin AS Bill Clinton dan Presiden Donald Trump.

Sebutan nama seseorang dalam fail Epstein semata-mata tidak bermakna individu tersebut melakukan sebarang salah laku. 

Namun, dokumen yang didedahkan kepada umum itu sekurang-kurangnya menunjukkan wujudnya hubungan antara Epstein dengan beberapa tokoh awam yang sebelum ini sering memperkecilkan -- atau malah menafikan -- kewujudan hubungan tersebut. 

Mesej rekaan

Fail terbaru itu mengandungi beberapa e-mel dan surat berita yang merujuk kepada Satoshi dan bitcoin, tetapi dakwaan bahawa Epstein mencipta mata wang kripto tersebut adalah tidak berasas (pautan arkib).

AFP mengenal pasti beberapa kesalahan format dalam imej e-mel berkenaan selepas membandingkannya dengan dokumen yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman.

E-mel tersebut memaparkan baris subjek "RE: Project ‘Bitcoin’ Funding & Whitepaper" sebanyak dua kali. Ia juga memaparkan baris penerima dua kali -- satu diisi dengan baris subjek, dan satu lagi menggunakan e‑mel "gmaxwell@terramar.org".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu dengan kesalahan format diserlahkan oleh AFP

Domain "terramar.org" merujuk kepada kumpulan pemulihan laut yang diasaskan Maxwell pada 2012 dan didaftarkan pada 2013, beberapa tahun selepas pertukaran e-mel kononnya berlaku dengan Epstein (pautan arkib di sini dan di sini).

Dalam arkib dokumen rasmi Epstein, alamat e-mel Maxwell dirahsiakan dalam kebanyakkan rekod yang diterbitkan. Alamat e-mel Epstein disenaraikan sebagai "jeevacation@gmail.com".

Carian untuk "jepstein@financial.net" dan "gmaxwell@terramar.org" di laman web DOJ tidak menghasilkan sebarang keputusan.

E-mel tular itu juga tidak mengandungi cop Epstein Files Transparency Act (EFTA) yang terdapat pada sudut kanan bawah setiap dokumen yang dikeluarkan DOJ.

Akta tersebut mewajibkan DOJ menerbitkan semua rekod, dokumen, komunikasi dan bahan siasatan tidak terklasifikasi yang berkaitan dengan siasatan dan pendakwaan terhadap Epstein (pautan arkib).

Carian imej terbalik Google pula membawa kepada satu hantaran X pada 2 Februari yang memaparkan imej e‑mel tersebut dengan kapsyen bahasa Inggeris, "Adakah ini benar?" (pautan arkib).

Sebagai respons kepada komen marah pada hantaran itu, pemilik akaun berkenaan menjawab: "Adakah satira tidak dibenarkan di X?" (pautan arkib).

AFP telah menghubungi pemilik akaun tersebut tetapi tidak menerima sebarang maklum balas.

Organisasi media France 24, Snopes dan Lead Stories turut menafikan terhadap dakwaan tersebut.

Liputan lanjut berkaitan maklumat palsu mengenai Epstein boleh didapati di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami