Siaran palsu menyamar laman web kerajaan dengan tawaran komputer riba palsu

Kerajaan tidak memberikan komputer riba percuma kepada golongan berpendapatan rendah, bertentangan dengan siaran media sosial yang membawa pengguna ke laman sesawang yang menyamar sebagai laman rasmi kerajaan dan meminta maklumat peribadi. Kementerian Kewangan berkata siaran itu menyebarkan "berita palsu" dan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak klik pada pautan meragukan atau berkongsi maklumat peribadi kepada sumber tidak sah. 

"PERMOHONAN BANTUAN LAPTOP PERCUMA TELAH DIBUKA! Peluang terhad khas untuk rakyat Malaysia," bunyi kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 5 Februari 2026.

Siaran itu, yang mengandungi grafik memaparkan pelajar dan komputer riba, mendakwa kuota adalah terhad dan menggesa orang ramai memohon secepat mungkin dengan klik pada pautan disediakan.

Pautan itu membawa pengguna ke laman sesawang -- yang mengandungi logo "Malaysia Madani" serta jata negara -- dan borang di mana pemohon diminta mengisi nama penuh dan nombor telefon mereka. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 13 Februari 2026 dan pautan laman web palsu, dengan tanda X merah ditambah AFP

Tawaran palsu komputer riba percuma itu turut dikongsi dalam siaran Facebook yang lain sama ada membawa pengguna ke laman sesawang atau halaman serupa dengan susun atur yang sama, serta di TikTok.

Kerajaan, bagaimanapun, berkata skim komputer riba percuma itu tidak wujud. Ia hanya dipromosikan pada halaman yang dibuat pada 5, 6 dan 7 Februari dan pautan laman sesawang itu bukan halaman rasmi kerajaan.

Tiada satu pun pautan laman sesawang yang disertakan dalam siaran palsu itu berakhir dengan ".gov.my", alamat akhir diguna pakai oleh laman sesawang rasmi kerajaan. Menyemak domain laman sesawang juga dinyatakan dalam portal kerajaan sebagai cara untuk menyemak sama ada laman meragukan itu adalah laman sesawang rasmi (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin portal kerajaan MyGovernment, dengan amaran tentang semakan URL, ditanda oleh AFP

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Teo Nie Ching berkata orang ramai tidak seharusnya mempercayai mana-mana laman sesawang yang mendakwa ia adalah halaman kerajaan jika alamatnya tidak berakhir dengan ".gov.my", sambil memberi amaran bahawa mereka berkemungkinan dikendali penipu (pautan arkib).

Kementerian Kewangan menyangkal siaran itu dalam kenyataan di halaman Facebook rasminya pada 12 Februari dan berkata ia adalah "berita palsu" (pautan arkib).

"Kementerian Kewangan ingin menegaskan bahawa tiada sebarang permohonan Bantuan Laptop Percuma seperti yang tular di media sosial dan laman sesawang tidak rasmi," katanya. 

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak klik pautan mencurigakan, berkongsi maklumat peribadi kepada sumber tidak sah serta sentiasa menyemak maklumat melalui saluran rasmi.

Image
Tangkapan skrin kenyataan Facebook Kementerian Kewangan yang menyangkal siaran palsu itu

AFP sebelum ini menafikan siaran palsu yang mendakwa kerajaan menghulurkan bantuan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami