Pakar beri amaran ubat mata dijual dalam talian boleh memudaratkan pengguna

Pakar kesihatan memberi amaran tiada mana-mana jenis produk boleh merawat semua jenis penyakit mata, menafikan iklan palsu di media sosial yang mempromosikan ubat mata. Mereka menasihati pesakit yang mengalami masalah penglihatan untuk mendapatkan bantuan daripada profesional bagi mengelakkan kelewatan dalam mendapatkan rawatan.

"Saya punya silau penglihatan kabur dah takde dah sekarang ni. Nak memandu pun, mata dah tak rasa senak akibat silau tu. Okey, penglihatan makin terang. Mata pun makin ringan je bila pakai (produk ini)," kata audio alih suara dalam video TikTok dikongsi pada 3 Februari 2026.

Klip itu memaparkan sebotol ubat titis mata dengan pembungkusan kotaknya yang menamakan produk sebagai "Penawar Mata dengan Rumusan Homoeopati" -- mendakwa ia telah mendapat sijil ujian makmal.

Video itu seterusnya menyenaraikan ramuan produk itu sebagai "air zam zam, madu asli, saffron dan pati daun sirih" selain mendakwa ia membantu merangsang dan mengaktifkan otot dan saraf mata.

Pihak berkuasa sebelum ini berkata tiada syarikat mendapat lesen untuk penjualan air zam-zam di negara ini (pautan arkib). 

Siaran serupa yang mendakwa produk itu boleh membantu menyembuhkan masalah mata yang serius termasuk astigmatisme, katarak dan pterigium telah tersebar sejak 2024 dan terus muncul pada 2026 di TikTok serta Facebook.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 3 Februari 2026 dengan tanda X merah ditambah AFP

Tiada bukti saintific 

Namun, Ahmad Fadhullah Fuzai, presiden Persatuan Optometri Malaysia, memberitahu AFP tiada kajian saintifik yang boleh dipercayai dalam bidang optometri atau oftalmologi telah membuktikan bahawa ubat titis mata sedemikian boleh merawat masalah mata yang serius dengan cara selamat atau berkesan (pautan arkib).

"Tiada mana-mana ubat titis mata boleh menyembuhkan atau merawat semua jenis penyakit mata, terutamanya tanpa ujian klinikal  yang kukuh dan mendapat kelulusan kawal selia," katanya pada 3 Februari.

Jelasnya lagi, bergantung pada produk itu boleh menangguhkan rawatan yang berasaskan bukti untuk keadaan seperti katarak, glaukoma atau pterygium, membolehkan perkembangan penyakit yang mungkin tidak dapat dipulihkan.

"Sekalipun kesan bahaya itu tidak segera, rasa selamat yang salah boleh menyebabkan pesakit terlepas peluang untuk mendapatkan rawatan yang berkesan, yang membawa kepada kemerosotan penglihatan dan kerosakan berpanjangan."

"Pilihan paling selamat adalah mendapatkan rawatan penjagaan daripada pakar mata yang berkelayakan."

Muhamad Syukri Mohamad Rafiuddin, perunding optometris dari MATA by Optometrist, turut menggesa pesakit yang mengalami masalah penglihatan yang serius supaya tidak berlengah-lengah mendapatkan rawatan daripada optometris bertauliah (pautan arkib). 

Beliau memberi amaran kepada sesiapa yang mempertimbangkan untuk mendapatkan rawatan alternatif atau ubat titis mata perlu berunding dengan profesional perubatan  terlebih dahulu. 

"Kebanyakan ubat titik mata dikilangkan sebagai produk kosmetik," katanya kepada AFP melalui WhatsApp pada 4 Februari.

"Sebenarnya, apa sahaja ubat titik perlu melalui proses kajian sebelum digunakan kerana tisu halus mata boleh dicederakan oleh bahan yang tidak sesuai yang boleh merosakkan kelenjar air mata dan memburukkan lagi keadaan."

Tiada rekod produk itu dalam pangkalan data Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), menunjukkan ia belum diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin pangkalan data NPRA

AFP sebelum ini telah menafikan maklumat salah berkaitan keselamatan pengguna.

Aminah Farid menyumbang kepada laporan ini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami