Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus bercakap semasa sidang media pada 20 Disember 2021 di ibu pejabat WHO di Geneva. ( AFP / Fabrice Coffrini)

Catatan media sosial salah nyata kenyataan ketua WHO tentang ketaksaksamaan vaksin Covid

Sejumlah catatan media sosial yang beredar dalam pelbagai bahasa mendakwa ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa beberapa negara telah memberi suntikan penggalak vaksin untuk "membunuh kanak-kanak". Catatan-catatan itu tersebar dalam talian pada bulan Disember 2021 apabila negara-negara di seluruh dunia menyaksikan lonjakan rekod kes Covid-19, berkemungkinan didorong oleh varian Omicron. Tetapi semakan ke atas kenyataan sebenar Tedros mendapati beliau sebenarnya mengulas tentang ketaksaksamaan vaksin global — bukan memberi komen tentang keselamatan dos penggalak vaksin Covid-19. Seorang wakil WHO memberitahu AFP bahawa Tedros tersilap cakap ketika menyampaikan ucapannya.

Video itu dimuat naikkan pada 26 Disember 2021 di Facebook di sini, di mana video itu telah ditonton lebih daripada 500 kali.

Video berdurasi 53 saat itu menunjukkan ketua WHO semasa di satu sidang media anjuran organisasinya.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Tedruus ckp Boooooosteer ni lebih baik digunakan utk buunuuuh org tua dari buuunuuhh kanak2.. correct me if I'm wrong"

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 5 Januari 2021

Video itu juga muncul dengan dakwaan serupa di Facebook di sini.

Rakaman video Tedros itu juga dikongsikan dalam kumpulan Telegram dari Malaysia di sini dan sini.

Dakwaan itu juga beredar dalam pelbagai bahasa lainnya, seperti bahasa Inggeris, bahasa Finland, bahasa Perancis, bahasa Belanda, bahasa Romania, bahasa Poland dan bahasa Croatia.

Catatan-catatan itu beredar dalam talian ketika negara-negara di seluruh dunia menghadapi lonjakan dalam kes Covid-19, berkemungkinan didorong oleh varian Omicron. AFP melaporkan tentang lonjakan kes Covid-19 secara global di sini.

Walau bagaimanapun, catatan itu mengelirukan.

Ketua WHO tersasul

Tedros menyebut dos penggalak Covid-19 dalam konteks ketaksaksamaan vaksin secara global — bukan untuk mengulas tentang keselamatan suntikan dos penggalak.

Carian kata kunci mendapati video itu diambil daripada klip ini, yang dimuat naikkan di YouTube oleh Ruptly, media yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Rusia, pada 21 Disember 2021.

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, judul video itu berbunyi: "Omicron merebak lebih cepat daripada Delta dan orang yang diberi vaksin atau telah pulih lebih berkemungkinan dijangkiti - ketua WHO."

Klip tersebut menunjukkan Tedros membuat kenyataan itu semasa sidang media secara maya WHO pada 20 Disember 2021.

Komen Tedros boleh dibaca di transkrip rasmi WHO bagi sidang media pada hari itu di sini.

Image
Tangkapan skrin komen Tedros dalam transkrip WHO

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, transkrip komen Tedros, seperti yang dapat didengar di dalam video mengelirukan itu, berbunyi: "Terdapat bukti baharu yang muncul sekarang tentang faedahnya, terutamanya dengan kumpulan orang tua, warga emas, terutamanya mereka yang berumur lebih daripada 65 tahun dan 60 tahun ke atas.

"Jadi, jika ia akan digunakan, adalah lebih baik untuk memberi tumpuan kepada kumpulan yang mempunyai risiko penyakit yang teruk dan kematian, daripada, seperti yang kita lihat, beberapa negara sedang menggunakan untuk memberi dos penggalak kepada kanak-kanak, ia tidak betul.

"Kemudian isu ekuiti muncul di sini. Daripada memberi dos penggalak kepada seorang kanak-kanak di negara-negara berpendapatan tinggi, ia adalah lebih baik untuk memberi vaksin kepada warga emas di negara-negara di mana mereka belum diberi vaksin, termasuklah vaksin pertama."

WHO memberitahu AFP pada 23 Disember 2021 bahawa Tedros tersilap cakap dalam sidang media itu dan komen tersebut kemudiannya disalahtafsirkan dalam talian.

"Semasa penyampaian perkataan children ('kanak-kanak'), beliau menghadapi kesulitan dengan suku kata pertama 'chil' dan bunyi yang terkeluar seperti 'cil' ('bunuh')", kata seorang wakil WHO.

"Beliau kemudian menyebut suku kata yang sama dengan betul sejurus selepas itu, di mana ia disebut dengan jelas sebagai 'cil-children'. Mana-mana tafsiran lain tentang perkara ini adalah 100% tidak betul."

WHO sebelumnya mahu 40 peratus penduduk di setiap negara diberi vaksin sepenuhnya menjelang akhir tahun 2021 dan mempunyai sasaran liputan 70 peratus menjelang pertengahan tahun 2022.

Tedros kemudian mengumumkan bahawa 92 daripada 194 negara anggota WHO akan terlepas sasaran 40 peratus, seperti dilaporkan AFP di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami