Seorang kakitangan perubatan memegang botol vaksin coronavirus Pfizer-BioNTech Covid-19 di Hospital UiTM di Sungai Buloh pada 2 Mac 2021. (AFP / Mohd RASFAN)

Vaksin Covid-19 dikaitkan secara salah dengan peningkatan kes tuberkulosis

Peningkatan kes tuberkulosis di seluruh negara mencetuskan dakwaan di media sosial bahawa bakteria penyakit itu sengaja dimasukkan ke dalam vaksin Comirnaty Covid-19 Pfizer untuk tujuan "depopulasi". Jurucakap Pfizer berkata dakwaan itu adalah palsu, sambil menambah vaksinnya adalah sintetik dan tidak mengandungi bakteria hidup.

"Dr Sucharit Bhakdi kata Tibi Ada DLM vacc c19..sengaja di masukkan Oleh pfizer utk depopulasi," bunyi siaran Facebook dikongsi pada 18 Februari 2026. 

"kkm penipu besar," kata siaran itu lagi. 

Siaran itu memetik ahli mikrobiologi yang telah bersara Sucharit Bhakdi, seorang bekas profesor di Universiti Johannes Gutenberg Mainz di Jerman yang telah berulang kali menyebarkan dakwaan palsu tentang pandemik Covid-19.

Bhakdi sebelum ini meramalkan suntikan Covid-19 akan menyebabkan "peningkatan tuberkulosis di seluruh dunia, terutama di negara-negara di mana bakteria tuberkulosis telah berada di dalam badan mereka".

Dakwaannya muncul semula dalam siaran Substack pada Januari 2026, yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa vaksin RNA messenger seperti Comirnaty merosakkan sistem imun badan -- satu naratif yang telah dinafikan AFP berulang kali

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 25 Februari 2026 dengan tanda X merah ditambah AFP

Dakwaan itu juga tersebar di akaun Facebook lain susulan negara mencatatkan lebih 3,000 jangkitan tuberkulosis sejak Januari 2026 (pautan arkib).

Penyakit itu merebak melalui udara dan Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai untuk memakai topeng muka dan mendapatkan rawatan perubatan jika mereka mengalami batuk berpanjangan (pautan arkib).

Tuberkulosis telah wujud di Malaysia sejak awal abad ke-20 dan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) telah diberikan kepada bayi baru lahir sejak 1961 (diarkibkan di sini dan di sini).

Tetapi penyakit itu tidak terdapat dalam vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh pembuat ubat AS, Pfizer.

Vaksin sintetik

Naratif ini adalah yang terbaharu dalam gelombang maklumat salah tentang vaksin Covid-19, yang dianggarkan oleh penyelidik telah menyelamatkan berjuta orang.

Seorang jurucakap Pfizer memberitahu AFP dalam e-mel bertarikh 25 Februari 2026, bahawa vaksin itu "tidak mengandungi sebarang virus hidup dan sepenuhnya sintetik".

"Sejak Disember 2020, lebih lima bilion dos telah diedarkan secara global bagi vaksin Pfizer-BioNTech COVID-19, yang terus menunjukkan profil keselamatan dan keberkesanan yang menggalakkan yang disokong oleh bukti dunia sebenar yang meluas serta data klinikal, bukan klinikal, farmakovigilans dan pembuatan," katanya.

Bakteria tuberkulosis tidak tersenarai dalam senarai penuh kandungan vaksin itu yang dikongsi secara terbuka oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (pautan arkib). 

Pakar virologi Profesor Dong-Yan Jin dari Universiti Hong Kong juga menolak dakwaan itu.

"Vaksin mRNA mengandungi mRNA tetapi bukan patogen hidup. Tuberkulosis disebabkan oleh bakteria hidup yang tidak terdapat dalam vaksin mRNA," katanya dalam e-mel bertarikh 24 Februari 2026.

AFP telah menyemak fakta maklumat salah lain tentang vaksinasi di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami