SPR tolak dakwaan PRU mengejut bakal diadakan pada Oktober 2026
- Diterbitkan pada hari 19/03/2026 jam 06:39
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT
Arus politik yang berubah-ubah, keadaan kucar-kacir dalam parti pembangkang serta skandal rasuah dalaman telah mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya mengejut mungkin diadakan ketika kerajaan sedia ada menuju penggal akhirnya pada 2027. Namun, dakwaan bahawa pilihan raya umum (PRU) akan berlangsung pada 24 Oktober 2026 adalah tidak benar. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan itu sebagai “berita tidak benar”, manakala Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masih terlalu awal untuk mengadakan pilihan raya. Sehingga 19 Mac 2026, tiada tarikh rasmi PRU diumumkan.
"TARIKH-TARIKH PENTING PRU16," tulis sebahagian teks pada siaran TikTok dikongsi pada 16 Mac 2026.
Ia dikongsi bersama satu grafik yang menyenaraikan tarikh-tarikh penting untuk PRU mengejut dengan hari penamaan calon jatuh pada 10 Oktober 2026, pengundian awal pada 20 Oktober dan hari pengundian pada 24 Oktober.
Grafik itu turut meletakkan logo rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (pautan arkib).
Grafik sama dikongsi di tempat lain di Facebook, mengelirukan pengguna yang memberi komen, "Yeayyyy ..tk sabarnya...nk mengundi".
"kali ini.. Rakyat jangan salah buat keputusan lagi," tulis pengguna yang lain.
Desas-desus mengenai pilihan raya awal mula diperdebatkan di media sosial ketika isu dalaman dalam kerajaan perpaduan Anwar, blok pembangkang yang lemah dan dakwaan kes rasuah yang melibatkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Anwar mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai perdana menteri pada 2022 melalui tiket reformasi, berikrar untuk menangani rasuah, nepotisme dan kronisme (pautan arkib).
Penggal kerajaan semasa beliau akan berakhir menjelang Disember 2027 dan PRU mesti diadakan sebelum Februari 2028.
Namun, setakat 19 Mac 2026, Anwar tidak mengumumkan pembubaran parlimen mahupun menetapkan tarikh pilihan raya.
Carian kata kunci di Google membawa kepada satu kenyataan dikongsi di laman Facebook rasmi SPR pada 13 Mac yang menolak dakwaan itu sebagai "berita tidak benar" (pautan arkib).
"Elakkan daripada menyebarkan kandungan yang mengelirukan, konteks yang tidak benar, sumber kandungan yang samar, serta kandungan atau imej yang dimanipulasi atau direka," katanya.
Anwar juga telah menolak sebarang kemungkinan mengadakan PRU mengejut pada tahun ini sambil menegaskan masih "punyai jalan yang panjang" dan beliau tidak pasti tentang perkara itu (pautan arkib).
Sementara itu, penganalisis politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara memberitahu AFP pada 18 Mac bahawa sekarang adalah "masa yang tidak sesuai" untuk Anwar mengadakan pilihan raya lebih awal (pautan arkib).
"Ya, pembangkang dalam keadaan kucar-kacir tetapi saya boleh katakan populariti kerajaan, khususnya Anwar, adalah tidak positif," katanya.
Tambah Azmi, keadaan geopolitik dan ekonomi semasa, yang mungkin menyaksikan kerajaan memikirkan semula subsidi bahan api akibat perang di Iran, merumitkan lagi situasi itu (pautan arkib).
"Kita tidak tahu berapa lama lagi perang akan berlaku," ujarnya sambil menyatakan subsidi bahan api hanya akan bertahan selama dua atau tiga bulan sebelum menjadi terlalu tinggi untuk kerajaan meneruskan pembiayaan.
AFP sebelum ini menafikan dakwaan salah mengenai pilihan raya akan datang di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami