Klip janaan AI dan video lama dikongsi dalam dakwaan palsu Iran serang USS Abraham Lincoln
- Diterbitkan pada hari 18/03/2026 jam 06:30
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Jeff LI, AFP Hong Kong
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Iran mendakwa telah menyerang sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat menggunakan dron ketika membalas serangan bersama AS–Israel pada akhir Februari, yang mencetuskan konflik serantau. Namun, dua video tular di media sosial tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada USS Abraham Lincoln dan Amerika Syarikat menegaskan kapal itu tidak terkena serangan dron Iran. Salah satu video didapati dijana menggunakan AI, manakala satu lagi melibatkan kebakaran sebuah kapal perang AS pada 2020.
"Gelombang serangan balas, menyasarkan secara langsung kapal induk pesawat AS Abraham Lincoln dengan peluru berpandu balistik," bunyi siaran Facebook pada 7 Mac 2026.
Satu lagi siaran yang menunjukkan sebuah kapal perang terbakar turut dikongsi dalam hantaran Facebook pada 8 Mac dengan dakwaan yang sama.
Hantaran serupa beserta dakwaan sama turut tersebar di media sosial dalam pelbagai bahasa ketika Iran berulang kali mendakwa ia telah menyerang USS Abraham Lincoln selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran terhadap republik Islam itu pada 28 Februari (pautan arkib di sini dan di sini).
Amerika Syarikat mempunyai dua kapal pengangkut pesawat di Asia Barat yang mengambil bahagian dalam perang tersebut, dan menafikan bahawa Abraham Lincoln telah diserang.
US Central Command -- agensi yang bertanggungjawab ke atas pasukan Amerika di Asia Barat -- berkongsi gambar kapal itu di akaun rasmi X mereka pada 1 Mac dan 7 Mac dan berkata peluru berpandu Iran "langsung tidak hampir" (pautan arkib di sini dan di sini).
Carian imej terbalik di Google mendapati ia sepadan dengan satu siaran Instagram pada 27 Ogos 2025 yang menyatakan bahawa video itu dihasilkan menggunakan AI (pautan arkib).
"Saya hanya bereksperimen untuk menghasilkan rakaman gila yang tidak dapat dibayangkan, kelihatan seperti bencana sebenar tetapi semuanya dibuat dengan AI," kata hantaran itu.
Bio akaun tersebut nenyatakan akaun itu menghasilkan "watak dan suara AI" dan kerap berkongsi video bencana yang dijana AI (pautan arkib).
Pemilik akaun itu juga memberitahu AFP bahawa video itu dibuat menggunakan model AI Veo 2 Google.
Carian berasingan di Google mendapati klip kedua telah dipotong daripada video yang dimuat naik Tentera Laut AS di saluran YouTube rasminya dan menunjukkan kebakaran di kapal serangan amfibia USS Bonhomme Richard pada 12 Julai 2020 (pautan arkib).
Menurut video itu, kebakaran berlaku ketika kapal tersebut berlabuh di Pangkalan Tentera Laut San Diego.
Penyiar tempatan, CBS 8 San Diego, turut menyiarkan rakaman kapal itu dari sudut yang sama pada 18 Julai 2020 selepas kebakaran dipadamkan (pautan arkib).
AFP melaporkan pada tahun berikutnya bahawa seorang anggota kru kapal itu dituduh memulakan kebakaran yang mencederakan 17 anggota tentera laut dan empat orang awam itu (pautan arkib). Tentera laut merancang membaiki kapal itu tetapi kerosakannya terlalu teruk sehingga ia terpaksa dilupuskan pada awal 2021.
AFP juga telah menafikan maklumat palsu lain berkaitan Iran di sini.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami