
Laporan rekaan media Singapura dakwa PM Anwar hilang sokongan
- Diterbitkan pada hari 11/09/2025 jam 11:35
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Satu tangkapan skrin laporan yang kononnya dari laman web Bahasa Melayu Mediacorp, Berita, telah dikongsi di Facebook pada 4 September 2025, dengan kapsyen, "Yang mmg pasti".
Tajuk berita itu berbunyi: "2 penganalisis politik terkenal singapura mengatakan Anwar Ibrahim hilang sokongan rakyat, parti pemerintah akan kalah teruk Pilihan Raya Umum ke -16 (PRU16)."
Gambar pada artikel itu menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita.

Pada bulan Julai lalu, himpunan "Turun Anwar" yang dianjurkan parti pembangkang melihat ratusan rakyat Malaysia turun berdemo atas alasan beliau belum cukup berjaya menangani peningkatan kos sara hidup (pautan arkib).
Tinjauan baru-baru ini oleh Merdeka Center mendapati majoriti pengundi memberi Anwar penarafan kelulusan yang positif sebanyak 55 peratus.
Imej itu dikongsi dalam beberapa siaran Facebook lain tetapi Berita Mediacorp memberitahu AFP pada 9 September bahawa siaran itu adalah "berita palsu yang menyamar sebagai kandungan" dari syarikat berita itu.
Syarikat penyiaran itu menambah bahawa ia tidak menyiarkan artikel sedemikian yang memetik penganalisis politik mengenai penurunan dalam sokongan terhadap Anwar, mahupun jangkaan keputusan PRU16, setakat 11 September 2025.
Carian imej terbalik Google diikuti dengan carian kata kunci menemui artikel asal pernah diterbitkan di Berita Mediacorp pada 3 September 2025 (pautan arkib).
Gambar dipakai pada artikel itu memaparkan ahli parlimen Singapura Syed Harun Alhabsyi dan Hazlina Abdul Halim daripada Parti Tindakan Rakyat, bukan penganalisis politik (pautan arkib di sini dan di sini).
Tajuk berita itu berbunyi: "Kos sara hidup, keluarga dan belia jadi tumpuan AP penggal pertama Dr Syed Harun Alhabsyi dan Hazlina Halim untuk sidang Parlimen ke-15."
Artikel yang berdasarkan temuduga bersama dua ahli politik tersebut menyentuh tentang isu-isu yang ingin mereka bentangkan di parlimen dan tidak menyebut tentang Anwar.

AFP menafikan dakwaan palsu lain yang menggunakan laporan berita hasil suntingan atau rekaan di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami