Rakaman kutip kulat disalah siar sebagai klip pelarian perang

  • Diterbitkan pada hari 24/03/2026 jam 08:37
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Thailand
  • Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia

Beberapa orang telah terbunuh akibat serangan balas Iran terhadap Israel selepas serangan bersama dengan Amerika Syarikat pada Februari yang mengorbankan pemimpin tertinggi republik Islam itu. Namun, video yang kononnya menunjukkan sekumpulan orang berlari menuruni lereng bukit tidak menggambarkan warga Israel melarikan diri daripada konflik. Video itu sebenarnya dirakam pada Mei 2025 dan menunjukkan orang ramai mengutip Kulat Beluncas Cina di pergunungan Himalaya.

"Sebahagian penduduk Israel dilaporkan meninggalkan rumah mereka di kawasan berhampiran sempadan konflik," bunyi siaran Facebook pada 10 Mac 2026. 

Video yang beredar menunjukkan sekumpulan orang berlari di lereng bukit yang curam.

Image

Klip yang sama turut tersebar bersama dakwaan serupa di media sosial ketika Iran berulang kali melancarkan peluru berpandu ke arah Israel, ketika perang di Asia Barat memasuki minggu ketiga susulan serangan bersama AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari 2026 (pautan arkib).

Kementerian Kesihatan Iran berkata pada 8 Mac bahawa lebih daripada 1,200 orang telah terbunuh -- angka yang tidak dapat disahkan secara bebas oleh AFP -- manakala pihak berkuasa Israel melaporkan 16 kematian akibat serangan peluru berpandu atau serpihan sejak perang bermula (pautan arkib).

Namun, video dirakam sebelum perang Iran tercetus, dan AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan yang berkongsi klip sama semasa perang 12 hari antara Israel dan Iran pada 2025.

Gabungan carian imej terbalik dan carian kata kunci menemui video asal yang diterbitkan oleh sebuah halaman Facebook bernama Dolpa pada 29 Mei 2025 (pautan arkib).

Kapsyen dalam bahasa Nepal itu berbunyi: "Orang ramai sedang mengutip yarchagumba, Rup patan, Daerah Dolpa." Seorang lelaki juga dapat didengar berkata "ia sudah dibuka" dalam bahasa Nepal.

Yarchagumba juga dikenali sebagai Kulat Beluncas Cina dan digelar "viagra Himalaya" dan merupakan salah satu ubat tradisional Cina paling bernilai yang boleh mencecah harga sehingga tiga kali ganda harga emas di China (pautan arkib).

Kulat ini diklasifikasikan sebagai spesies rentan dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) (pautan arkib).

Image
Perbezaan tangkapan skrin siaran palsu (kiri) dansiaran Facebook dari Mei 2025

Setiap tahun antara Mei dan Jun, ribuan penduduk kampung di Nepal dan Tibet mendaki kaki bukit Himalaya untuk mengutip kulat parasit ini, yang tumbuh pada badan seekor ulat (pautan arkib).

Pengguna yang asalnya berkongsi video itu, Pradip Shahi, memberitahu AFP pada 11 Mac 2026 bahawa rakaman tersebut diambil semasa musim mengutip tahunan pada 27 Mei 2025.

Beliau turut memberikan lokasi kutipan tersebut di Nepal (pautan arkib).

AFP telah membongkar gelombang maklumat palsu berkaitan perang Iran di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami