Klip tarian tiada kaitan dengan dakwaan emel Kash Patel digodam

Sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan Iran mendakwa telah menggodam akaun e‑mel Kash Patel dan menerbitkan dokumen peribadi beliau dalam talian, hampir sebulan selepas perang AS‑Israel terhadap Iran bermula. Namun, video yang didakwa sebagai rakaman baharu pengarah FBI itu menari sebenarnya telah beredar sejak sekurang‑kurangnya 2020 dan menunjukkan seorang lelaki menari mengikut lagu Bollywood.

"Hacker Iran telah upload video Kash Patel, Pengarah Federal Bureau of Investigation (FBI) yang berjaya mereka perolehi," bunyi siaran Facebook pada 30 Mac 2026.

"Tak salah dia nak menari, tapi isu yang lebih besar adalah video, gambar, email dan maklumat peribadi beliau kini sudah dibocorkan hacker Iran."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 1 April 2026

Hantaran serupa tular di Facebook dan Threads. Klip itu juga tersebar dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis dan Indonesia.

Ia muncul selepas kumpulan penggodam pro‑Iran dikenali sebagai Handala Hack Team mendakwa pada 27 Mac bahawa mereka telah menggodam akaun e‑mel milik Patel dan memuat naik gambar peribadi serta kandungan lain dalam talian (pautan arkib).

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mengesahkan bahawa "aktor berniat jahat" telah menyasarkan maklumat e‑mel peribadi Patel dan berkata ia telah "mengambil semua langkah yang perlu untuk mengurangkan risiko yang mungkin timbul daripada aktiviti ini."

Imej peribadi Patel antara dokumen yang diterbitkan dalam talian, termasuk gambar pengarah FBI itu sedang menghisap merokok dan bergambar dengan sebuah kereta antik.

Namun, klip video yang tular selepas insiden godaman itu tidak berkaitan.

Carian imej terbalik menunjukkan bahawa klip tersebut telah beredar dalam talian sejak sekurang‑kurangnya Julai 2020, dengan salah satu hantaran YouTube terawal menyatakan bahawa lelaki itu menari mengikut lagu 'Sun Sahiba Sun' nyanyian mendiang Lata Mangeshkar dari filem Bollywood 1985 'Ram Teri Ganga Maili' (pautan arkib di sini, di sini, di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin siaran YouTube diambil pada 30 Mac 2026

Menurut ringkasan plot dalam talian, "Ram Teri Ganga Maili" mengisahkan perjalanan seorang wanita untuk bersatu semula dengan suaminya selepas dia pulang ke kampung halamannya (pautan arkib).

Lelaki dalam video itu kelihatan meniru koreografi daripada salah satu babak tarian melibatkan watak lakonan aktres Mandakini, diiringi lagu "Sun Sahiba Sun" (pautan arkib).

Klip tersebut muncul semula pada 2022, juga tanpa sebarang kaitan dengan Patel, yang berkhidmat dalam pentadbiran pertama Trump sehingga 2021 (pautan arkib di sini dan di sini).

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai politik AS di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami