Siaran palsu kongsi kenyataan media keputusan SPM 2025 ikut kaum
- Diterbitkan pada hari 06/04/2026 jam 09:55
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi MAMAT, AFP Malaysia
Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima keputusan pada 31 Mac 2026, tetapi kenyataan yang kononnya dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) yang memaparkan pecahan pencapaian mengikut kaum adalah rekaan. KPM menafikan mengeluarkan dokumen tersebut, yang mengandungi ralat pada format dan ejaan. Lembaga Peperiksaan lazimnya menyediakan analisis keputusan tahunan yang menunjukkan perbezaan pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar, tetapi bukan mengikut kaum.
Dokumen bertajuk "KENYATAAN MEDIA: KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) 2025", dikongsi di Facebook pada 1 April.
Ia memaparkan jata negara dan kononnya dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), menyatakan pencapaian cemerlang oleh calon SPM mengikut kaum.
Dakwa kenyataan itu, sebanyak 31.43 peratus pelajar Melayu, 88.21 peratus pelajar Cina dan 81.48 peratus pelajar India mencapai markah tertinggi.
Dokumen sama menunjukkan peratusan keputusan SPM mengikut kaum itu turut dikongsi di tempat lain di Facebook sejurus selepas Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad mengumumkan analisis keputusan peperiksaan SPM 2025 pada 31 Mac (pautan arkib).
Walau bagaimanapun, pecahan rasmi sebaliknya menunjukkan taburan prestasi merentas masa, pelajar bandar dan luar bandar dan keseluruhan kadar kejayaan calon, tetapi bukan mengikut kaum.
Carian kata kunci di Google membawa kepada analisis keputusan untuk tahun terdahulu yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia di laman sesawang rasminya, yang tidak menyebut pecahan pelajar cemerlang terbanyak mengikut kaum (pautan arkib).
Carian kata kunci seterusnya mendapati KPM menyangkal dakwaan itu di halaman Facebook rasmi pada 1 April, sambil berkata ia bertujuan untuk "mengelirukan masyarakat" (pautan arkib).
"Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (2025) berdasarkan kaum seperti yang tular," katanya.
Analisis dokumen yang tular di media sosial itu mendapati terdapat kesalahan ejaan dan susun atur dokumen itu berbeza daripada kenyataan-kenyataan tulen yang pernah dikeluarkan oleh KPM (pautan arkib).
Jenis tulisan dan penjajaran teks dalam kepala surat dokumen yang dikongsi secara salah itu adalah berbeza. Ia juga mengandungi kesilapan ejaan dan tiada tarikh kenyataan itu dikeluarkan.
AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu lain yang menggunakan laporan berita atau kenyataan media rasmi hasil rekaan dan suntingan.
Hak Cipta © AFP 2017-2026. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami