Siaran palsu dakwa video Netanyahu direka untuk menutup kematiannya

Selepas Benjamin Netanyahu berucap kepada rakyat Israel mengenai kempen ketenteraan terhadap Iran, satu video yang kononnya menunjukkan perdana menteri itu mempunyai enam jari pada tangan kanannya tular dalam hantaran yang mendakwa klip itu dijana kecerdasan buatan dan dijadikan 'bukti' bahawa kematiannya sedang disembunyikan. Namun, versi berkualiti tinggi yang dimuat naik oleh kerajaan Israel tidak menunjukkan Netanyahu mempunyai enam jari dan beliau turut membuat beberapa penampilan umum sejak video itu tular.

"Video ucapan Netanyahu yang dimuat naik oleh pihak Tel Aviv hari ini setelah beliau hilang selama 4 hari mencetuskan gelombang baru spekulasi on-line yang mendakwa beliau telah mampuih.

"Ini kerana dalam video tersebut kelihatan tangan kanannya mempunyai 6 jari, tangan kiri pula semua jari kelihatan sama ukurannya dan giginya kelihatan banyak sekali," bunyi siaran Facebook pada 13 Mac 2026. 

Siaran itu turut menyertakan satu klip pendek menunjukkan perdana menteri Israel sedang berucap.

Dua tangkapan skrin daripada klip itu turut disertakan dalam hantaran berkenaan bagi menyerlahkan apa yang didakwa sebagai kejanggalan pada tangan Netanyahu. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 1 April 2026

Dakwaan itu tersebar di tempat lain di Facebook dan juga dalam bahasa lain

Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, turut menerbitkan artikel pada 10 Mac mengenai spekulasi bahawa perdana menteri Israel itu sama ada sudah mati atau cedera (pautan arkib).

Namun, video yang tular itu tidak menunjukkan Netanyahu mempunyai enam jari pada tangan kanannya dan beliau juga muncul di khalayak ramai selepas dakwaan itu tersebar.

Akaun rasmi Netanyahu di X menyangkal spekulasi itu melalui sebuah video pada 15 Mac yang menunjukkan beliau berada di sebuah kafe sambil bergurau tentang khabar angin tersebut dan mengangkat tangannya ke arah kamera (pautan arkib).

Satu lagi video yang dikeluarkan pada 17 Mac menunjukkan Netanyahu mengumumkan bahawa Israel telah "menghapuskan" ketua keselamatan Iran, Ali Larijani (pautan arkib).

Perdana menteri Israel itu sekali lagi merujuk kepada khabar angin mengenai kematiannya dalam sidang media pada 19 Mac, dengan berkata kepada para wartawan: "Pertama sekali, saya ingin mengatakan bahawa saya masih hidup dan anda semua menjadi saksi kepada itu" (pautan arkib).

AFP mengedarkan foto-foto Netanyahu pada taklimat media pada 19 Mac, manakala agensi foto Getty menerbitkan gambar beliau di lokasi serangan peluru berpandu Iran di selatan Israel pada 22 Mac (pautan arkib di sini dan di sini).

Image
Tangkapan skrin gambar Netanyahu di platform AFP Forum

Kenyataan sidang media 

Carian imej terbalik di Google membawa kepada video YouTube Pejabat Akhbar Kerajaan Israel (GPO) bertarikh 13 Mac (pautan arkib).

Video bertajuk "Kenyataan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada Sidang Media" itu menunjukkan Netanyahu berucap kepada rakyat mengenai kempen ketenteraan bersama AS-Israel terhadap Iran.

Hantaran palsu berkenaan menggunakan tangkapan skrin daripada video GPO bermula pada saat ke-31. Ia menunjukkan bahawa apa yang disangka sebagai "jari keenam" Netanyahu sebenarnya adalah tapak tangannya.

Image
Perbezaan tangkapan skrin antara siaran palsu (kiri) dan siaran YouTube

Analisis menunjukkan bahawa tiada satu pun bahagian dalam video tersebut yang menunjukkan Netanyahu mempunyai lebih daripada lima jari pada setiap tangan, walaupun tangannya kelihatan sedikit kabur pada sesetengah saat.

"Terdapat banyak pergerakan tangan, dan dalam mana-mana video, bingkai berubah dengan sangat cepat," kata Evangelos Kanoulas, profesor kecerdasan buatan di Universiti Amsterdam (pautan arkib).

"Anda boleh mengambil tangkapan skrin pada saat bingkai bertukar, terutamanya jika video itu dimampatkan, kerana pemampatan menyebabkan kehilangan kualiti serta ketajaman dan butiran," katanya pada 17 Mac.

Image
Tangkapan skrin video GPO, dengan angka ditambah oleh AFP

Henry Ajder, pakar dalam kandungan sintetik dan 'deepfake', turut menolak dakwaan bahawa kemunculan enam jari pada tangan Netanyahu adalah bukti konspirasi untuk menutup kematian atau kecederaannya (pautan arkib).

"Kerajaan Israel dan perkhidmatan perisikan Israel adalah antara yang paling canggih di dunia," kata Ajder. "Jika mereka mahu melakukan sesuatu seperti ini, mereka tidak akan melakukan kesilapan yang begitu mudah dan ketara."

Alat pengesan AI

Sesetengah pengguna internet menggunakan alat pengesan AI dan kadangkala menerima keputusan yang menunjukkan sebahagian atau keseluruhan video itu dijana menggunakan AI.

AFP menganalisis beberapa versi video tersebut -- diperoleh daripada pelbagai platform media sosial dengan tahap pemampatan berbeza -- menggunakan alat Hive Moderation, salah satu pengesan AI paling popular (pautan arkib).

Keputusan menunjukkan antara 0.1 hingga lapan peratus kepastian bahawa video itu dijana oleh AI.

Image
Tangkapan skrin analisis Hive Moderation

Kanoulas menjelaskan bahawa keputusan boleh berubah-ubah bergantung pada tahap pemampatan video dan kaedah analisis yang digunakan.

"Secara umum, deepfake meninggalkan kesan, jadi bukan mustahil untuk mengenal pasti sama ada sesuatu itu deepfake," katanya sambil menambah bahawa analisis seperti ini memang berbaloi dilakukan.

Beliau juga mencadangkan orang ramai menilai bagaimana video palsu itu disebarkan, sama ada sumbernya boleh dipercayai, dan menganalisis video asal berbanding versi mampat yang dimuat naik semula.

AFP sebelum ini telah menafikan beberapa maklumat palsu lain berkaitan Netanyahu.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami