Foto keropok babi dari Bali ini telah dimanipulasikan dengan menambahkan label ‘halal’

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Imej yang telah dikongsi ribuan kali di beberapa pos Facebook yang mendakwa ia menunjukkan sebungkus keropok babi yang dilabelkan “halal” walaupun haram di bawah undang-undang Islam untuk Muslim memakan makanan diperbuat daripada babi. Dakwaan itu tidak benar; imej itu telah dimanipulasikan dengan memasukkan label halal.

Gambar yang mengelirukan itu dikongsi di Facebook di sini pada 9 Julai 2019, dan di sini pada 11 Julai 2019. Foto yang sama juga dimuatnaik ke Facebook di sini di mana ia dikongsi lebih daripada 7,000 kali sebelum ia dipadam.

Di bawah adalah tangkapan skrin pos mengelirukan yang diterbitkan pada 9 Julai 2019:

Tangkapan skrin pos Facebook mengelirukan

Kapsyen bahasa Indonesia diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Sangat enak... halal lagi... hahahaha.”

Di penjuru kiri pakej, terdapat dua perkataan bahasa Indonesia yang diterjemahkan kepada bahasa Malaysia sebagai: “Keropok Babi”.

Lukisan seekor babi juga kelihatan pada pakej, dengan perkataan “cap” ditulis di atas dan “BABI” di bawahnya.

Teks dalam warna merah di bawah menyatakan bahawa “Daging dan mutunya dijamin. Tanpa bahan pengawet dan penyedap”.

Logo halal juga boleh dilihat pada bahagian atas penjuru kanan label, dalam warna hitam.

Memakan makanan diperbuat daripada babi adalah haram dalam agama Islam, seperti dijelaskan di sini.

Imej dalam pos yang mengelirukan telah dimanipulasikan. Carian kata kunci di Google mendapati keropok babi yang ditunjukkan pada foto adalah untuk dijual di segelintir kedai dalam talian, contohnya oleholehkhasbali.com, di pulau resort Bali, bahagian Hindu majoriti di Indonesia.

Walau bagaimanapun, tiada pun label halal pada pakej keropok yang dijual melalui kedai tersebut, seperti yang boleh dilihat dalam tangkapan skrin di bawah:

Tangkapan skrin keropok yang boleh didapati di kedai dalam talian oleholehkhasbali.com

Made Dharma Putra, pemilik kilang keropok di wilayah Tabanan, Bali, mengesahkan kepada AFP dalam panggilan telefon pada 16 Julai 2019 bahawa dia tidak pernah mendaftarkan produknya kepada agensi pensijilan halal Indonesia.

“Adalah mustahil untuk saya mendaftarkan produk ini. Ia adalah jelas bahawa produk ini diperbuat daripada babi dan lukisan seekor babi jelas kelihatan pada pakej. Ia dibuat untuk masyarakat bukan Islam,” katanya.