Gambar vaksin Pfizer yang dijual dalam talian adalah ‘palsu’ – kerajaan melarang penjualan vaksin Covid-19 di Malaysia

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Jumaat 19/03/2021 pukul 05:00
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Malaysia
Satu gambar telah dikongsi ratusan kali di Facebook dan Twitter bersama dengan dakwaan bahawa vaksin Covid-19 Pfizer dijual di Shopee, platform e-dagang yang popular, di Malaysia. Dakwaan itu tak benar: Shopee berkata gambar itu “palsu” dan vaksin Covid-19 tidak pernah disenaraikan di platformnya. Kementerian Kesihatan Malaysia berkata hanya pihak kerajaan sahaja boleh membekalkan vaksin Covid-19 dan penjualan vaksin Covid-19 dilarang di negara ini.

Gambar itu diterbitkan pada 5 Mac 2021 di Facebook di sini

Image
Tangkapan skrin catatan Facebook yang mengelirukan, diambil pada 10 Mac 2021

Kapsyen itu berbunyi: “Org dok kata pfizer utk frontliner, marhaen dpt sinovac. Tapi salah, shopee membawakan terus vaksin pilihan ramai ke dpn pintu rumah anda. Rm6+.++ saja. Jarum beli asing, cucuk sendiri. Thanks shopi”. 

Menurut gambar posting Shopee yang dikatakan itu, vaksin Pfizer berharga RM63.88 dan sebanyak 17 item telah dijual. 

Shopee adalah platform e-dagang yang berpusat di Singapura dan popular di rantau Asia Tenggara.

Gambar yang sama telah dikongsi melebihi 230 kali selepas muncul bersama dakwaan yang serupa di sini dan sini di Facebook dan di sini di Twitter. 

Namun, dakwaan itu tak benar.

Penafian Shopee

Dalam respons kepada pertanyaan dari AFP, Shopee mengeluarkan pernyataan dalam bahasa Inggeris melalui e-mel pada 11 Mac 2021. Diterjemahkan ke bahasa Malaysia, tajuk pernyataan itu berbunyi: “GAMBAR YANG DIUBAH SUAI MENGATAKAN VAKSIN COVID-19 DIJUAL DI SHOPEE.”

“Telah menjadi perhatian kami bahawa satu ciapan dengan foto yang menunjukkan penjualan vaksin Covid-19 Pfizer di Shopee telah tersebar di Twitter dan foto yang sama juga diedarkan di WhatsApp. Kami boleh mengesahkan bahawa kami tidak menemui sebarang senarai jualan serupa di Shopee,” kata pernyataan Shopee itu. 

“Sejak itu, pengarang ciapan tersebut telah mengesahkan bahawa imej itu diubah suai dan sememangnya palsu. 

“Imunisasi Covid-19 adalah masalah kesihatan negara yang tidak boleh dianggap remeh.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga sedar tentang berita palsu ini.” 

Carian kata kunci untuk perkataan vaksin, dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, di Shopee tidak membuahkan hasil.

Nasihat KKM

KKM memuat naikkan gambar, yang dicap dengan kata-kata “BERITA PALSU” dan “FAKE” di sini di laman Facebook rasminya pada 5 Mac 2021. Sebahagian kapsyennya menyatakan: “Iklan ini adalah palsu. Vaksin COVID-19 tidak boleh dijual di Malaysia.”

KKM juga memuat naik mesej yang serupa di akaun Twitter rasminya pada hari yang sama, sambil menyatakan: “Vaksin #COVID19 hanya boleh dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. 

“Penjualan atau pembekalan vaksin melalui mana-mana medium lain adalah tidak dibenarkan sama sekali. 

“Vaksin yg djual di pasaran mungkin  tiruan, palsu ataupun datang daripada sumber yang tidak sah.”

Foto vaksin asal

Hasil carian terbalik di Google mendapati bahawa gambar vaksin yang digunakan dalam senarai jualan Shopee yang dikhabarkan itu diambil dari foto Reuters ini

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, kapsyen foto Reuters berbunyi: “Botol bebuli dengan pelekat, ‘COVID-19 / Vaksin koronavirus / Suntikan sahaja’ dan jarum suntik perubatan kelihatan di hadapan logo Pfizer yang terpapar dalam ilustrasi ini yang diambil pada 31 Oktober 2020.”

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan foto Reuters (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin foto dalam catatan Facebook yang mengelirukan (kiri) dan foto Reuters (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami