Varian koronavirus tidak dilepaskan sebagai sebahagian daripada pandemik yang dipentaskan

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Sebuah imej yang kononnya menunjukkan jadual pelancaran varian koronavirus beredar di pelbagai catatan media sosial sebagai bukti teori konspirasi bahawa wabak ini telah dipentaskan. Namun begitu, mutasi virus tidak dapat diramalkan. Beberapa varian telah dikesan lebih awal daripada jadual waktu yang dikatakan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kumpulan yang logonya muncul dalam catatan-catatan tersebut memberitahu AFP bahawa imej itu palsu.

“Varian tak akan habis...,” bunyi keterangan catatan Instagram ini, yang dimuat naikkan pada 27 Julai 2021.

Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 3 September 2021

Catatan tersebut memuat naikkan sebuah imej jadual dalam bahasa Sepanyol dengan senarai nama varian dan tarikh pelancaran dan diberi tajuk "Jadual strain".

Catatan itu juga menampilkan logo Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Forum Ekonomi Dunia (WEF), Yayasan Bill & Melinda Gates dan Universiti Johns Hopkins.

Imej yang sama juga muncul dengan dakwaan serupa di Instagram di sini, serta di Facebook di sini, sini, sini dan sini.

Imej itu dikongsikan bersama dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Romania, bahasa Indonesia dan bahasa Jerman.

Apabila disoal oleh AFP mengenai jadual itu, WHO dan WEF mengatakan bahawa ia tidak mewakili karya mereka.

"Ini bukan dokumen WHO," kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic dalam e-mel bertarikh 2 Ogos 2021.

Chloe Laluc, dari jabatan keterlibatan awam WEF, juga memberitahu AFP pada 28 Julai 2021: "Kami belum pernah melihat imej itu sebelum ini dan tidak terlibat dalam penciptaannya."

Pejabat akhbar Yayasan Bill dan Melinda Gates juga menangani dakwaan yang lebih besar bahawa pelbagai varian koronavirus telah dirancang sebelumnya, dengan memanggilnya "palsu".

Johns Hopkins University belum menjawab pertanyaan AFP pada waktu penerbitan.

Jadual yang tidak tepat

Selain daripada penggunaan logo rasmi yang mengelirukan, tarikh yang beredar di media sosial tidak berpadanan dengan garis masa sebenar ketika varian SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan Covid-19, dikesan.

Senarai rasmi tentang varian SARS-CoV-2 dari WHO pada masa ini mengandungi empat varian yang membimbangkan (variant of concern atau VOC), iaitu Alpha, Beta, Gamma dan Delta, dan lima varian yang diragui (variant of interest atau VOI), iaitu Eta, Iota, Kappa, Lambda dan Mu.

Menurut jadual yang tersebar di media sosial, varian Delta sepatutnya "dilancarkan" pada bulan Jun 2021.

Namun, varian ini, yang merupakan salah satu yang paling mudah berjangkit, pertama kali dikesan pada Oktober 2020 di India, seperti yang ditunjukkan pada jadual WHO.

Tangkapan skrin laman web WHO yang menunjukkan varian yang membimbangkan, diambil pada 4 September 2021

Delta dinamakan varian yang diragui (VOI) pada April 2021, dan sebulan kemudian, pada bulan Mei 2021, ia menjadi varian yang membimbangkan (VOC).

Alpha, Beta dan Gamma tidak disebut dalam catatan-catatan media sosial.

Jadual di catatan mengelirukan juga mendakwa varian Eta akan dilancarkan pada September 2021, Iota pada November 2021, diikuti oleh Kappa pada Disember 2021, dan kemudian Lambda pada Januari 2022 dan Mu pada Februari 2022.

Walau bagaimanapun, hampir semua varian dikesan pada akhir tahun 2020, kecuali Mu pada awal tahun 2021.

Eta dan Iota dilabel sebagai varian yang diragui pada Mac 2021, manakala Kappa ditambahkan ke senarai ini pada April 2021, Lambda pada Jun 2021 dan Mu pada Ogos 2021.

Tangkapan skrin laman web WHO yang menunjukkan varian yang diragui, diambil pada 4 September 2021

Varian muncul secara rawak

Virus bermutasi secara rutin dan tiada apa-apa tentang kemunculan varian SARS-CoV-2 adalah bukti bahawa wabak tersebut telah dipentaskan.

Seperti yang dijelaskan dalam videografik AFP ini, pelbagai varian muncul secara rawak melalui peredaran aktif virus ketika ia menghasilkan replika virus di dalam tuan rumah manusia.

Para saintis menggunakan penjujukan genom untuk mengenal pasti varian-varian baru dan mengkaji bagaimana mereka boleh mempengaruhi kesihatan.

Catherine Hill, seorang ahli epidemiologi di Institut Gustave Roussy di Perancis, mengesahkan sifat mutasi virus secara rawak.

"Virus ini bermutasi tanpa niat dan kemudiannya terdapat sistem-sistem pemilihan yang bermaksud bahawa jika sesuatu varian mempunyai kelebihan — terutamanya jika ia lebih berjangkit — ia akan merebak pantas," katanya pada 14 Julai 2021.

Menurut para pakar yang dihubungi oleh AFP, vaksinasi adalah cara terbaik untuk mengekang peredaran virus ini, dan mengurangkan risiko kemunculan varian yang lebih tahan atau lebih tular.

"Semakin banyak peredaran (virus itu), semakin banyak peluang virus untuk mencari penyelesaian kepada masalah seperti vaksinasi atau imuniti semula jadi," kata Crepey Pascal, ahli epidemiologi dan biostatistik di Sekolah Pengajian Lanjutan Perancis dalam Kesihatan Awam, pada pertengahan Februari 2021.

AFP pernah membongkar dakwaan tak benar bahawa vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran akan menyebabkan varian-varian berada di luar kawalan, dan juga bahawa koronavirus telah dirancang.

Terjemahan dan adaptasi
COVID-19