UNICEF menyangkal dakwaan tak benar bahawa agensi itu telah mengeluarkan garis panduan pencegahan koronavirus

Satu nasihat mengenai novel koronavirus, COVID-19, telah dikongsikan ratusan kali di Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp bersama-sama dakwaan bahawa ia dikeluarkan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF). Dakwaan itu tak benar: UNICEF berkata bahawa agensinya tidak mengeluarkan maklumat itu; sebahagian besar daripada mesej tersebut bercanggah dengan nasihat pakar kesihatan mengenai koronavirus.

Satu posting telah diterbitkan di Facebook di sini pada 5 Mac 2020 dan telah dikongsikan lebih dari 50 kali.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting yang mengelirukan itu:

Image
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Teks itu menyatakan: “Hati-hati semua. Jaga kesihatan

“Unicef
Corona virus ni bersize besar. Lebih kurang 400-500 micro diameter , so apa jenis mask boleh halang kemasukkannya. Tak payah nak pakai topeng gas bagai.

“*virus ni tak berterbangan di udara, tapi dia mendap di permukaan. Coronavirus tidak berjangkit diudara*

“Corona virus, bila dia jatuh ke permukaan besi, dia bertahan 12 jam, so basuh tangan dengan air dan sabun pun dah cukup.

“Corona virus bila jatuh ke kain, akan bertahan 9 jam. So basuh baju dan biarkan baju kena cahaya matahari utk 2 jam dah cukup untuk membunuh virus. (so rajin2lah berjemur ?)

“Virus ni hidup di tangan selama 10 minit. Jadi amalkan bubuh hand sanitizer di poket. Guna selalu.. Bukan sebagai hiasan.

“Kalau virus tu terdedah pada suhu 26-27°C, ia akan mati, dia tak boleh hidup dikawasan panas. Jadi minum air panas dan terdedah pada matahari dah cukup baik. Jauhi diri dari makan ais krim dan makanan2 sejuk.

“Berkumur dengan air suam bercampur garam membunuh tonsils dan menghalangnya dari masuk ke paru2.

“Mematuhi arahan ini dah cukup untuk menghalang dari penyebaran virus ini.
UNICEF”.

Dakwaan yang serupa mengenai UNICEF mengeluarkan nasihat tersebut juga telah dibuat di Facebook dalam bahasa Malaysia di sini, sini, sini dan sini; di Twitter di sini; dan di Instagram di sini, di mana ia telah dikongsikan lebih dari 250 kali. 

Dakwaan serupa beredar di Facebook dalam bahasa Sinhala di sini, sini, sini dan sini. Ia juga dikongsikan di Filipina di Facebook di sini.

Nasihat yang dikatakan tersebut juga telah dikongsi dengan luasnya di kalangan pengguna WhatsApp dengan dakwaan yang sama, seperti yang boleh dilihat di tangkapan skrin di bawah:

Image
Tangkapan skrin satu slaid yang beredar di WhatsApp dengan dakwaan yang mengelirukan memetik UNICEF tentang COVID-19

Dakwaan itu tak benar: pegawai UNICEF menyangkal dakwaan bahawa mereka telah mengeluarkan garis panduan tersebut.

“Sebuah mesej dalam talian yang salah yang beredar dalam beberapa bahasa di seluruh dunia dan mendakwa ianya dari komunikasi UNICEF nampaknya menunjukkan, antara lain, bahawa mengelak dari ais krim dan sebarang makanan sejuk yang lain boleh membantu mencegah permulaan penyakit itu. Ini adalah, sudah tentu, sepenuhnya tidak benar,”  Charlotte Petri Gornitzka, timbalan pengarah eksekutif UNICEF untuk perkongsian, berkata dalam sebuah kenyataan pada 6 Mac 2020. 

“Mengongsi maklumat yang tidak tepat dan cubaan untuk mengisikannya dengan autoriti dengan menyalahgunakan nama mereka yang berada di posisi yang amanah adalah berbahaya dan salah.”

Jeremy Sprigge, seorang pakar komunikasi UNICEF di Sri Lanka, juga memberitahu AFP dalam e-mel pada 5 Mac 2020 bahawa dakwaan yang beredar di media sosial “tidak dikeluarkan oleh agensi itu dan oleh itu adalah tidak benar”.

Tambahan pula, UNICEF Malaysia, UNICEF Filipina dan wakil UNICEF di India telah mengeluarkan ciapan di sini, sini dan sini, menafikan bahawa organisasi tersebut telah mengeluarkan nasihat yang dikatakan tersebut. 

UNICEF juga menggesa sesiapa yang bimbang tentang koronavirus untuk merujuk kepada laman sesawang rasmi agensi tersebut di sini.

Kebanyakan maklumat yang tersenarai di dalam posting-posting mengelirukan tersebut adalah tidak tepat.

Sebagai contohnya, menurut artikel ini di The Lancet, sebuah jurnal perubatan bebas antarabangsa, novel koronavirus berukuran di antara 0.05 dan 0.2 mikron diameter.

Mengenai dakwaan bahawa topeng boleh menghalang virus itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa topeng hanya memberi perlindungan terhad. Organisasi tersebut juga menggesa agar hanya pekerja kesihatan dan orang yang sakit dengan simptom koronavirus memakai topeng.

Walau bagaimanapun, terdapat percanggahan pendapat mengenai pemakaian topeng untuk mencegah penjangkitan novel koronavirus. Yuen Kwok-yung, seorang pakar penyakit berjangkit di Hong Kong University, berkata: “Pakai topeng tak hanya untuk melindungi diri sendiri tapi juga orang lain kerana jika kamu sudah dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom, kamu masih boleh menghentikan penyebarannya dengan memakai topeng.”

Bukan semua topeng dipercayai boleh mencegah penjangkitan novel koronavirus. Menurut pakar imunologi viral Dr Ariane Davison yang berasas di Hong Kong, topeng muka pembedahan dan alat pernafasan N95, yang menapis virus dari udara dengan kecekapan sehingga 95%, boleh menawarkan pelindungan.

Dakwaan bahawa cahaya matahari dan suhu yang panas akan membunuh virus itu juga adalah mengelirukan. “Dari bukti setakat ini, virus COVID-19 boleh tersebar ke SEMUA TEMPAT, termasuklah kawasan dengan cuaca yang panas dan lembap,” kata WHO di sini.

Posting-posting tersebut juga membuat dakwaan yang mengelirukan tentang jangka hayat koronavirus pada permukaan tidak bernyawa.

WHO menyatakan bahawa “ia tidak pasti” berapa lama virus tersebut boleh hidup pada permukaan tidak bernyawa dan mengatakan bahawa jangka hayatnya mungkin dalam lingkungan beberapa jam kepada beberapa hari bergantung kepada keadaan yang berbeza seperti jenis permukaan, suhu dan kelembapan.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami