Gambar-gambar ini adalah karya seni peminat dan adegan dari The Simpsons yang dipersembahkan dalam konteks mengelirukan

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Enam gambar telah dikongsi ratusan kali di pelbagai posting di Facebook, Twitter dan Instagram bersama-sama dakwaan bahawa mereka menunjukkan siri animasi popular The Simpsons sudah “meramal” tunjuk perasaan untuk George Floyd. Dakwaan itu tidak benar. Gambar-gambar tersebut adalah gabungan karya seni peminat yang dibuat beberapa tahun sebelumnya dan tangkapan skrin dari siri sebenar yang dikemukakan dalam konteks yang mengelirukan.

Gambar-gambar tersebut diterbitkan pada 2 Jun 2020 di sini di Facebook, di mana mereka telah dikongsi melebihi 700 kali.

Gambar-gambar itu menunjukkan pelbagai adegan dari siri televisyen animasi The Simpsons, termasuk sebuah balai polis yang terbakar, seorang anggota polis yang mencekik lelaki kulit hitam, orang ramai berarak dengan obor, seorang pegawai polis sedang ditemu ramah di TV dan Rumah Putih yang diselubungi kegelapan. 

Tangkapan skrin posting yang mengelirukan yang diambil pada 17 Jun 2020

Kapsyennya menyatakan: “Lagi2 film The Simpsons meramal masa depan.” 

The Simpsons adalah siri televisyen animasi Amerika. 

Gambar-gambar tersebut, serta beberapa gambar tambahan termasuk satu gambar di mana Presiden Donald Trump terlantar dalam keranda, telah dikongsikan dengan dakwaan serupa di posting Facebook lain di sinisini dan sini; di Twitter di sini; dan di Instagram di sini.

Tangkapan skrin ciapan yang mengelirukan yang diambil pada 18 Jun 2020

Kematian George Floyd, seorang lelaki Afrika-Amerika berusia 46 tahun, dalam tahanan polis pada 25 Mei 2020 telah mencetuskan beberapa siri protes di seluruh AS. Laporan autopsi pada 1 Jun 2020 mendapati dia sesak nafas akibat dicekik oleh pegawai polis, seperti dilaporkan oleh AFP di sini

Dakwaan itu tak benar.

Gambar pertama dan kedua

Gambar pertama menunjukkan seorang anggota polis mencekik seorang lelaki berkulit hitam, manakala gambar kedua menampilkan anggota polis yang sama berbual dengan seorang penyampai berita dengan tangkapan skrin gambar pertama dipaparkan di latar belakang.

Nama  “ALEXSANDRO PALOMBO” diletakkan di sudut kanan bawah kedua-dua gambar.

Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa kedua-dua gambar telah diterbitkan pada 15 Disember 2014 di dalam temubual dengan artis dan aktivis Itali, AleXsandro Palombo di sini, yang diterbitkan oleh MailOnline, laman sesawang untuk tabloid di United Kingdom, The Daily Mail. 

Dua perenggan pertama dalam laporan itu, diterjemah dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, berbunyi: “Penembakan bermotif rasisme di Amerika telah menimbulkan kerusuhan selama berbulan-bulan di seluruh negara - dan kini seorang seniman telah membayangkan The Simpsons menyertai tunjuk perasaan untuk mengenang mangsa-mangsa.

“Dalam sebuah siri bertajuk ‘Saya Tidak Boleh Bernafas’, artis Itali AleXsandro Palombo telah menjadikan keluarga kartun yang biasanya berkulit kuning kepada hitam untuk mengenang Eric Garner, Tamir Rice, Trayvon Martin, Michael Brown dan semua mangsa yang lain.”

Palombo juga memuat naikkan gambar-gambar tersebut di akaun media sosialnya pada tahun 2014 di sini, pada tahun 2015 di sini dan sini, dan juga pada tahun 2020 di sini.

Di bawah adalah perbandingan antara gambar pertama dan kedua dari posting yang mengelirukan (kiri) dan gambar-gambar yang dikongsi oleh Palombo (kanan):

Perbandingan antara gambar pertama dan kedua dari posting yang mengelirukan (kiri) dan gambar-gambar yang dikongsi oleh Palombo (kanan)

Gambar ketiga

Gambar ketiga memaparkan balai polis Springfield yang terbakar.

Springfield merupakan bandar kediaman watak-watak fiksyen dalam The Simpsons.

Carian imej terbalik di Google mendedahkan bahawa gambar itu berasal dari episod sebenar dari tahun 1999, bertajuk “Hello Gutter, Hello Fadder”. Episod 6 dari musim 11 tidak membuat rujukan kepada sebarang protes atau gerakan Black Lives Matter

Dalam klip berdurasi 30 saat yang dimuat naikkan di YouTube ini, adegan tersebut boleh ditonton pada tanda 14 saat. Homer Simpson terperangkap dalam kesesakan trafik dan berputus untuk memintasnya dengan memandu di kawasan berumput sebelum dia ditahan oleh ketua polis Springfield Clancy Wiggum. Apabila Wiggum bertanya, “Baiklah lelaki pintar, di manakah api?” – Homer menjawab, “Di sana” dan menunjuk ke arah balai polis Springfield yang dijilat api.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar ketiga dari posting yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin dari episod “Hello Gutter, Hello Fadder” (kanan): 

Perbandingan tangkapan skrin gambar ketiga dari posting yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin dari episod “Hello Gutter, Hello Fadder” (kanan)

Gambar keempat

Gambar keempat menunjukkan orang ramai berarak-arakan dengan obor dalam tangan mereka.

Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa gambar tersebut berasal dari The Simpsons Movie, yang keluar pada tahun 2007. Dalam adegan itu, penduduk Springfield mengejar Homer kerana menyebabkan pencemaran Lake Springfield dan pengurungan di bawah kubah kaca berikutnya oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), seperti yang dilaporkan dalam artikel ini dari Entertainment Weekly.

Adegan yang tepat dapat ditonton dalam klip YouTube ini pada tanda 9 saat.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar keempat dari posting yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin dari The Simpsons Movie (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin gambar keempat dari posting yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin dari The Simpsons Movie (kanan)

Gambar kelima

Gambar kelima memaparkan Rumah Putih diselubungi kegelapan.

Carian imej terbalik di Google mendapati bahawa gambar tersebut berasal dari animasi pendek rasmi dari rancangan itu pada April 2017 untuk menandakan 100 hari pertama Presiden Donald Trump di Rumah Putih yang jatuh pada 29 April 2017.

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin gambar kelima dari posting yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin animasi pendek rasmi dari The Simpsons (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin gambar kelima dari posting yang mengelirukan (kiri) dan tangkapan skrin animasi pendek rasmi dari The Simpsons (kanan)

Video itu tidak menyebut mengenai protes untuk membantah kematian George Floyd.

Gambar keenam

Gambar keenam menunjukkan Donald Trump terbaring di dalam keranda.

Carian imej terbalik di TinEye mendapati bahawa gambar tersebut sebelum ini telah tersebar dalam video ini yang dimuat naikkan oleh saluran YouTube Badabun yang berpusat di Mexico pada 3 Februari 2017. Asal-usul gambar itu telah dikreditkan kepada laman web papan imej awanama, 4chan. 

Gambar itu muncul di dalam laporan Snopes ini pada 7 Februari 2017, yang membongkarkan dakwaan bahawa The Simpsons meramalkan kematian Trump.

AFP juga telah membongkar satu lagi lukisan The Simpsons yang digunakan untuk membuat dakwaan bahawa siri tersebut telah meramal kematian George Floyd. 

Artikel ini telah dikemas kini pada 1 Julai 2020 untuk membetulkan nama saluran YouTube yang berpusat di Mexico kepada Badabun.
George Floyd