Video ini menunjukkan satu kejadian yang melibatkan seorang datuk bandar di Texas pada 2015

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Satu klip yang telah ditonton ribuan kali di pelbagai posting di Facebook, Twitter dan YouTube bersama-sama dakwaan ia menunjukkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terlupa untuk mematikan mikrofonnya selepas pergi ke tandas semasa suatu mesyuarat. Dakwaan itu tak benar. Video itu telah dimanipulasikan. Video asal telah beredar di laporan media sejak sekurang-kurangnya 2015 mengenai sebuah kejadian melibatkan seorang datuk bandar di Texas.

Video berdurasi satu minit 32 saat itu telah dimuat naikkan di sini di Facebook pada 23 Mac 2020. Ia telah ditonton melebihi 6,800 kali.

Kapsyennya menyatakan: “Donald Trump meninggalkan ruang meeting untuk ke WC (toilet), tapi ... microphone di Tie nya lupa dimatikan sehingga bunyi pelepasan kentut dan buang air besarnya masuk ke speaker ruangan meeting....”

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan itu:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Donald Trump merupakan presiden Amerika Syarikat sekarang.

Video tersebut juga muncul dengan dakwaan yang sama di Facebook di sini, sini dan sini.

Ia juga dikongsi di Twitter di sini dan sini, serta di YouTube di sini.

Selain itu, ia telah dimuat naikkan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di sinisini dan sini; dan dalam bahasa Inggeris di sini dan sini.

Dakwaan itu tak benar. Video itu telah dimanipulasikan. Video asal sebenarnya menunjukkan mesyuarat majlis perbandaran di Texas pada 2015 yang telah tergendala setelah datuk bandar tempatan meninggalkannya untuk pergi ke tandas.

Carian imej terbalik di Google diikuti dengan carian kata kunci lanjut menjumpai video asal yang telah disiarkan oleh media Amerika Syarikat, New York Daily News di sini di YouTube pada 4 Mei 2015 yang bertajuk: “Datuk bandar Texas meninggalkan mikrofon hidup semasa ke bilik air untuk rehat.”  

Kapsyen video berdurasi dua minit 16 saat itu menyatakan: “Mesyuarat majlis perbandaran Texas tergendala setelah datuk bandarnya mengambil masa rehat ke bilik air - tetapi masih membiarkan mikrofonnya hidup.” 

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin antara rakaman dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video dari New York Daily News (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin antara rakaman dalam posting yang mengelirukan (kiri) dan video dari New York Daily News (kanan)

Dari saat ke-44 sehingga ke tanda satu minit 27 saat video itu, datuk bandar itu boleh didengar membuang air kecil dan menyiram tandas.

Walau bagaimanapun, di dalam video yang mengelirukan, audio tersebut diubah untuk memasukkan bunyi kentut.

Laman berita berpusat di Amerika Syarikat, Time telah menerbitkan laporan mengenai mesyuarat tersebut di sini pada 4 Mei 2015 dengan tajuk: “Tengok Saat Lucu Semasa seorang Datuk Bandar Meninggalkan Mikrofonnya Hidup Semasa Ke Bilik Air Untuk Rehat.”  

Dua perenggan pertama menyatakan: “Segala-galanya mengenai mesyuarat majlis perbandaran pada 28 April ini di Georgetown, Texas kedengaran benar-benar beradab dan serius - sehingga datuk bandar terlupa mematikan mikrofonnya semasa beliau pergi ke bilik air.

“Semuanya bermula apabila Datuk Bandar Dale Ross bangun dari tempat duduknya pada permulaan rakaman ini daripada strim langsung (livestream) mesyuarat itu. 30 saat kemudian, semasa Datuk Bandar Sementara Rachael Jonrowe bercakap mengenai rakan dan ahli keluarga yang telah dijangkiti penyakit berjangkit rintangan antibiotik, lelaki tersebut kedengaran membuang air dan kemudiannya menyimbah tandas.”

Dale Ross merupakan datuk bandar Georgetown, Texas.

Surat khabar berpusat di Texas, Austin American-Statesman, menemu ramah Ross mengenai kejadian itu dan menerbitkan artikel ini bertarikh 24 September 2016 yang bertajuk: “Datuk bandar Georgetown: Saya tidak malu tentang video bilik air.”

Sebelum ini, video yang dimanipulasikan itu juga dikongsi di Twitter pada 15 Februari 2020 di sini, dengan dakwaan mengenai seorang datuk bandar Texas yang lupa matikan mikrofonnya. Ciapan itu, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, kemudiannya dikongsikan oleh Trump di Twitter.