Polis menolak dakwaan ini sebagai penipuan yang berdasarkan cerita lama

Hak cipta AFP 2017-2021. Semua hak cipta terpelihara.

Pelbagai artikel yang dikongsi secara meluas di Facebook mendakwa bahawa 59 ahli gereja mati selepas meminum disinfektan untuk kediaman yang paderi mereka kata akan mencegah jangkitan koronavirus. Walaupun berdasarkan berita lama, dakwaan itu adalah tak benar – polis Afrika Selatan menafikan sebarang siasatan terkini dari pihak mereka. 

Posting Facebook, seperti di sini pada 25 Mac 2020 dan di sini pada 26 Mac 2020, telah memuat naikkan pautan kepada artikel dalam bahasa Malaysia ini dan ini mengenai 59 ahli gereja yang mati selepas meminum disinfektan berjenama Dettol. 

Sementara itu, posting Facebook, pada 26 Mac 2020 di sini dan pada 25 Mac 2020 di sini, mengkongsikan artikel dalam bahasa Inggeris ini dan ini dengan dakwaan serupa. 

Artikel-artikel itu mendakwa para pengikut seorang paderi minum Dettol untuk melindungi diri mereka daripada novel koronavirus dan menyebabkan kematian sebanyak 59 orang.

Dakwaan tersebut telah disertai dengan imej seorang lelaki menuang sesuatu yang kelihatan seperti Dettol ke dalam mulut seorang wanita.

Berikut adalah tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan: 

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan
Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Carian imej terbalik mendedahkan imej itu adalah tulen tetapi berhubung dengan laporan berita di Afrika Selatan (lihat di sini dan sini) dari Disember 2016, tiga tahun sebelum kemunculan novel koronavirus.

Tambahan lagi, tidak ada penerbitan yang menyebut tentang kematian. 

Berikut adalah tangkapan skrin artikel-artikel pada Disember 2016 itu: 

Tangkapan skrin yang diambil pada 31 Mac 2020 mengenai artikel-artikel pada 2016 tentang paderi memberi Dettol kepada jemaahnya

Artikel surat khabar Daily Sun di Afrika Selatan pada 9 Disember 2016 telah mengenal pasti lelaki itu sebagai Rufus Phala, seorang “nabi” yang memberitahu jemaahnya bahawa meminum cecair antiseptik boleh memulihkan mereka.

Ia memetik Phala berkata pada masa itu: “Saya tahu Dettol berbahaya, tetapi Tuhan mengarahkan saya untuk menggunakannya. Saya adalah orang yang pertama meminumnya.” Artikel-artikel penipuan itu mengulangi perkataan-perkataan ini.

Perbuatan Phala telah dikritik sebagai “tabiat tidak wajar” oleh jabatan kesihatan, yang telah memanggil ketua gereja untuk menyiasatnya.

Dettol Afrika Selatan juga telah membalas pada waktu itu, dengan menasihati bahawa produk tersebut adalah untuk kegunaan luar sahaja dan memberi amaran bahawa jika ditelan boleh membawa bahaya.

“Kami telah menghubungi Nabi Rufus Phala dan memintanya untuk menghentikan amalan ini,” kata kenyataan itu.

AFP tidak dapat mengesahkan jika botol yang Phala beri kepada jemaahnya betul-betul mengandungi Dettol.

Dalam jawapannya kepada AFP, jurucakap polis Afrika Selatan Brigedier Vishnu Naidoo menolak dakwaan tersebut sebagai tidak benar dan menafikan sebarang siasatan ke atas kematian 59 orang yang dikaitkan kepada penggunaan Dettol.

COVID-19