Seorang lelaki memakai topeng muka di Times Square, New York. (AFP / Johannes Eisele)

Posting Facebook tak benar mendakwa Amerika Syarikat menahan saintisnya kerana ‘mencipta’ koronavirus

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Posting Facebook yang dikongsikan mengetengahkan sebuah video mengenai pegawai Amerika Syarikat (AS) yang sedang bercakap dengan para wartawan dengan kapsyen yang mendakwa mereka sedang mengumumkan penangkapan seorang saintis AS yang telah “mencipta” koronavirus baru. Walau bagaimanapun, rakaman itu tidak ada kena-mengena dengan COVID-19 dan para saintis telah menyangkal dakwaan virus telah dicipta secara sengaja.

Rakaman berdurasi satu minit 48 saat itu telah disiarkan di Facebook di sini pada 5 April 2020. Ia telah ditonton melebihi 5,400 kali dan dikongsikan hampir 370 kali.

Sebahagian kapsyennya dalam bahasa Malaysia menyatakan: “[ ORANG JAHAT YANG BUAT CORONAVIRUS DAH KENA TANGKAP?]”. 

Diterjemahkan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, kapsyen yang selebihnya menyatakan: “Amerika Syarikat baru menemui lelaki yang membuat dan menjual virus korona kepada China. Dr Charles Lieber, ketua jabatan kimia dan biologi di Havard University, Amerika Syarikat. Dia baru sahaja ditahan hari ini menurut sumber jabatan Amerika.” 

Rakaman tersebut memaparkan seorang pegawai dari Jabatan Kehakiman AS mengadakan sidang media.

“Kami di sini pada hari ini untuk mengumumkan tiga kes berasingan yang mengetengahkan ancaman berterusan yang ditimbulkan oleh China disebabkan pengintipan ekonomi dan kecurian penyelidikan di AS,”  kata seorang pegawai di hadapan tanda Jabatan Kehakiman AS.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Rakaman yang sama dengan dakwaan yang serupa juga dimuat naikkan ke Facebook di sini dan telah ditonton lebih daripada 3,200 kali.

Video itu juga dikongsikan di sini dan sini dengan versi dakwaan yang mengatakan bahawa “FBI menangkap seorang profesor dari universiti Boston” dan “jelas bahawa virus korona adalah Bio Attack yang dirancang dan dijalankan oleh China”. 

Selain itu, ia juga dikongsikan dengan dakwaan yang serupa dalam bahasa Inggeris di sini, sini, sini dan sini; dan bahasa Indonesia di sini, sini dan sini

Walau bagaimanapun, lelaki itu tidak merujuk sama sekali kepada pandemik koronavirus yang telah membunuh melebihi 217,000 orang sehingga 30 April 2020, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Carian imej terbalik ke atas video itu menggunakan alat InVID WeVerify telah menjejak versi asal rakaman itu kepada video ini yang dimuat naikkan pada 28 Januari 2020 ke akaun YouTube stesen TV WCVB Channel 5 di Boston.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, judul video itu adalah: “Pengerusi jabatan Harvard ditahan; didakwa menyembunyikan hubungan dengan China.”

Sementara itu, kapsyennya menyatakan: “Dua warga China yang bekerja di Boston juga menghadapi dakwaan daripada Pejabat Peguam AS.”

Saintis dituduh 

Di sidang media itu, Peguam AS untuk Massachusetts Andrew Lelling dan ketua Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Boston Joseph Bonavolonta mengumumkan penangkapan seorang saintis Harvard dan dua warga China kerana menyembunyikan hubungan yang dikatakan dengan China.

AFP telah melaporkan bahawa pendakwa AS mendakwa Charles Lieber, pengerusi jabatan kimia dan biologi kimia Harvard University, dengan penyembunyian peranan yang dikatakan dalam sebuah progam kerajaan China yang pegawai keselamatan kata mencuri rahsia perdagangan. 

Dua saintis lain, kedua-duanya warga China, juga telah didakwa sebagai sebahagian siasatan ke dalam ratusan kes mengenai kecurian yang dikatakan oleh saintis China di AS.

Virus bukan buatan manusia 

Para pakar telah menyangkal teori bahawa koronavirus baru adalah dicipta dengan sengaja. Di dalam sebuah surat yang diterbitkan di jurnal perubatan The Lancet, para saintis kesihatan awam berkata bahawa virus itu “berasal dari hidupan liar”.

“Kami bersama-sama mengutuk sekeras-kerasnya teori konspirasi yang mencadangkan bahawa COVID-19 tidak mempunyai asal-usul semula jadi. Para saintis dari beberapa negara ... membuat kesimpulan bahawa koronavirus ini berasal dari hidupan liar, seperti kebanyakan patogen lain yang muncul,” kata surat itu.

Para saintis di Ohio State University di AS juga menerbitkan kertas yang menyimpulkan bahawa “tidak ada bukti yang boleh dipercayai” bahawa koronavirus baru telah direkayasa di dalam sebuah makmal.

KORONAVIRUS