
Video ini menunjukkan seorang lelaki sedang digari pada tahun 2019 dan dia bukan ejen FBI, kata polis
- Artikel ini berusia lebih dari setahun.
- Diterbitkan pada hari Selasa 09/06/2020 pukul 10:15
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Argentina, Nadia NASANOVSKY, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Video tersebut telah ditonton 14,000 kali selepas ia dimuat naikkan di sini di Facebook pada 2 Jun 2020.
Video berdurasi lima minit dan 21 saat itu menunjukkan pertengkaran antara lelaki kulit hitam dan beberapa pegawai polis.
Kapsyennya menyatakan: “#Amerika_Syarikat / Bila Polis Amerika tersilap menangkap Agen FBI berkulit hitam yang sedang bertugas.....”

Video ini muncul selepas kematian George Floyd, seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata, setelah ditangkap polis di Minneapolis, AS, pada 25 Mei 2020. Polis telah menuduh anggota polis berusia 44 tahun, Derek Chauvin, dengan pembunuhan darjah kedua selepas beliau dirakam menekan leher Floyd dengan lututnya untuk hampir sembilan minit sebelum Floyd maut. Kematiannya telah mencetus tunjuk perasaan secara meluas terhadap keganasan polis dan perkauman sistemik di AS, lapor AFP di sini.
Video tersebut telah ditonton lebih dari 63,000 kali setelah dikongsikan oleh pengguna Facebook di Singapura dan Malaysia di sini, sini dan sini bersama-sama dakwaan yang serupa.
Ia juga dikongsikan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia, bahasa Inggeris, bahasa Belanda, bahasa Perancis, bahasa Portugis, bahasa Sepanyol dan bahasa Turki.
Selain itu, video itu dan dakwaan mengelirukan yang sama juga tersebar di Twitter di sini dan sini, dan di YouTube di sini.
Dakwaan itu tak benar. Polis di AS berkata lelaki itu tidak berkaitan dengan FBI, sambil menambah bahawa kejadian itu berlaku pada bulan Jun 2019.
Carian kata kunci di Google menjumpai salah satu versi terawal video itu dimuat naikkan di sini di Facebook dan di sini di Instagram pada 30 Mei 2020. Walau bagaimanapun, para pengguna menyatakan di kedua-dua kapsyen posting berbahasa Inggeris itu: “Sesuatu telah memberitahu saya untuk menyimpan video ini untuk lebih daripada satu tahun.” Catatan tersebut juga mendakwa rakaman tersebut dirakam di Rochester, sebuah bandar di negeri Minnesota, AS.
Carian kata kunci menjumpai kenyataan ini dimuat naikkan di laman sesawang bandar Rochester pada 1 Jun 2020. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, ia menyatakan: “Satu video telah dikongsi melalui media sosial pada 30 Mei 2020 dari kejadian pada jam 1 pagi pada 1 Jun 2019, setahun lalu hari ini. Anggota polis Jabatan Polis Rochester (RPD) telah ditugaskan untuk bekerja di kawasan bar dan hiburan di pusat bandar.”
Tambahan lagi, kenyataan itu menyatakan: “Berbeza dengan khabar angin media sosial, individu [yang ditahan di dalam video] bukan seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).”
Lelaki di dalam video
Seorang pengguna Twitter yang mendedahkan diri mereka sebagai kawan lelaki kulit hitam di dalam video itu telah menggunakan platform tersebut untuk mempertahankannya. Seorang pengguna lain mengenal pasti lelaki itu sebagai seorang anggota paramedik bernama Atter.
AFP kemudian menemui pengguna Facebook bernama Atter Monydel, yang telah mengongsikan video Facebook itu pada 30 Mei 2020, bersama-sama keterangan dalam bahasa Inggeris yang berbunyi: “Saya ingat (kejadian) ini. Itu tidak betul.”
Profil Facebook tersebut menunjukkan bahawa dia bekerja sebagai seorang anggota paramedik di Rochester, Minnesota, dan sebenarnya berasal dari Juba, Sudan Selatan. Gambar profil Facebooknya juga padan dengan lelaki yang disoal siasat di dalam video di dalam posting yang mengelirukan.
Monydel tidak menanggapi permintaan komen dari AFP.
Namun begitu, dia kemudiannya menulis penjelasan di dalam posting Facebook pada 5 Jun 2020 di sini. Diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia, posting itu menyatakan: “Saya adalah Atter Mogndal individu yang ditahan oleh polis di dalam video yang telah tular itu ... Bahkan ada versi yang mencatat saya sebagai ejen FBI. Saya bukan ejen FBI dan saya juga tidak bekerja di mana-mana agensi polis.”
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami