Video ini menunjukkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di China bahagian barat laut pada 2015

Hak cipta AFP 2017-2020. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ratusan ribu kali di pelbagai posting di Facebook dan YouTube bersama-sama dakwaan bahawa ia menunjukkan warga China bersolat Jumaat setelah memeluk agama Islam akibat pandemik novel koronavirus. Dakwaan itu tak benar. Rakaman itu sebenarnya menunjukkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di bandar Xining, China, pada 2015, beberapa tahun sebelum pandemik itu. 

Video berdurasi enam minit dan 34 saat ini menunjukkan pandangan udara perhimpunan jemaah secara besar-besaran. Ia diterbitkan di Facebook pada 20 Mac 2020 dan telah ditonton melebihi 4,000 kali.

Di bawah adalah tangkapan skrin posting Facebook yang mengelirukan:

Tangkapan skrin pos Facebook yang mengelirukan

Kapsyennya menyatakan: “Sholat Jum’atan di Cina.Menjadi lautan manusia.Membuat merinding hati kita semua.Lebih 2juta orang Komunis China masuk Islam.Karna orang Islam di Wuhan tidak satupun kena VIRUS CORONA.Mereka takjub dengan orang Islam.Akhirnya atas izin Allah SWT mereka masuk Islam,dan insyaAllah termasuk kedalam golongan Umat Nabi Muhammad yang Sholeh dan Sholehah.Aamiin.”

Sehingga 10 Jun 2020, sekurang-kurang 84,600 kes COVID-19 disahkan dan lebih daripada 4,600 kematian dicatatkan, menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Rakaman yang sama telah ditonton lebih dari 636,000 kali setelah dikongsikan dengan dakwaan yang serupa di Facebook di sini, sini, sini dan sini; serta di YouTube di sini.

Video itu juga telah dimuat naikkan dengan dakwaan serupa dalam bahasa Indonesia di Facebook di sini dan sini, dan di YouTube di sini

Dakwaan itu tak benar. Video tersebut sebenarnya menunjukkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di bandar Xining, China, pada 2015.  

Carian imej terbalik di Google diikuti dengan carian kata kunci menjumpai versi video dengan kualiti yang lebih baik dan berdurasi lebih lama disiarkan di sini di Baidu Video, sebuah platform video dari China. 

Video berdurasi sembilan minit dan 27 saat mempunyai tajuk dalam bahasa Cina yang diterjemahkan ke bahasa Malaysia sebagai: “Video udara SD hebat / Hari Raya Aidilfitri di Masjid Xining Dongguan”.

Masjid Dongguan, salah satu masjid terbesar di China barat laut, terletak di bandar Xining, wilayah Qinghai.

Di tanda 11 saat, teks yang ditindihkan pada video menyatakan: “Masjid Xining Dongguan/2015.7.17”.

Di bawah adalah perbandingan dua tangkapan skrin adegan-adegan video dari posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan klip Baidu Video (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin adegan-adegan video dari posting Facebook yang mengelirukan (kiri) dan klip Baidu Video (kanan)

Logo Tencent, sebuah platform video dalam talian dari China, boleh kelihatan di sudut kanan kedua-dua rakaman.

Video tersebut telah dipadamkan dari Tencent, tetapi pautan Tencent muncul di dalam posting Weibo ini, bertarikh 3 Mac 2016, dengan tajuk video yang sama: “Video udara SD hebat / Hari Raya Aidilfitri di Masjid Xining Dongguan”. 

Sina.com, portal China, juga menerbitkan laporan ini pada 18 Julai 2015, mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri di seluruh China, yang jatuh satu hari lebih awal di sesetengah bahagian negara, termasuk Qinghai.

Gambar-gambar Masjid Dongguan, seperti yang dilihat di Google Street View di bawah ini, padan dengan video tersebut.

KORONAVIRUS