Ini adalah video simulasi letusan gunung berapi — ia tidak dirakam di Tonga

Hak cipta AFP 2017-2022. Semua hak cipta terpelihara.

Satu video telah ditonton ratusan kali setelah dikongsikan di catatan media sosial yang mendakwa ia adalah rakaman letusan gunung berapi di Tonga yang mencetuskan tsunami pada Januari 2022. Dakwaan itu adalah palsu: rakaman itu sebenarnya adalah simulasi letusan gunung berapi yang dibuat untuk sebuah muzium di New Zealand.

Video itu dikongsikan pada 21 Januari 2022 di Facebook di sini, di mana ia telah ditonton lebih daripada 710 kali.

Rakaman berdurasi dua minit dan 17 saat itu kelihatan menunjukkan gunung berapi di bawah air meletus, mengeluarkan abu dan asap.

Kapsyen catatan itu berbunyi: "Rakaman CCTV letusan gunung berapi Tonga."

Tangkapan skrin catatan menyesatkan, diambil pada 10 Mac 2022

Letusan bawah air gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai di Tonga pada 15 Januari 2022 mencetuskan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat, seperti dilaporkan AFP.

Video itu telah ditonton lebih daripada 1,250 kali bersama dakwaan serupa setelah beredar di Facebook di sini, di sini dan di sini, serta di YouTube di sini.

Video itu juga dikongsikan dengan dakwaan dalam bahasa Mandarin di Twitter, Gettr, Douyin dan Weibo.

Bagaimanapun, video itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Hasil carian imej terbalik dan carian kata kunci di Google menemui video yang sama diterbitkan di sini di saluran YouTube rasmi Muzium Memorial Perang Auckland di New Zealand pada 19 Disember 2019.

Diterjemahkan dari bahasa Inggeris, video itu bertajuk: "Simulasi Gunung Berapi Muzium Auckland - Muzium Auckland".

Keterangan video itu menyatakan ia "adalah simulasi pendidikan mengenai gempa bumi yang disebabkan oleh letusan gunung berapi".

Berikut perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asli dari Muzium Memorial Perang Auckland (kanan):

Perbandingan tangkapan skrin video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan video asli dari Muzium Memorial Perang Auckland (kanan)

Brandspank, agensi komunikasi yang berpangkalan di New Zealand yang menghasilkan video itu, turut menerbitkan video tersebut di sini pada platform perkongsian video Vimeo pada 2 Oktober 2011.

"Letusan Gunung Berapi Muzium Auckland," tulis tajuk video itu.

"Turutan yang diunjurkan ini direka untuk mensimulasikan paparan tingkap dalam set bilik yang dibina khas di Auckland," bunyi sebahagian penerangan video berkenaan.

"Teknologi 3D canggih dan kesan zarah telah digabungkan dengan plat latar belakang yang menghasilkan pemaparan realistik peristiwa bencana."

AFP sebelumnya menerbitkan laporan semakan fakta ini mengenai video yang sama pada Disember 2019 selepas ia diedarkan dengan dakwaan palsu bahwa ia menunjukkan letusan gunung berapi White Island di New Zealand.

Tsunami Tonga