Video lama latihan pertunjukan udara dikongsikan dalam catatan palsu tentang 'jet Rusia memasuki Ukraine'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Selasa 08/03/2022 pukul 05:58
  • Dikemas kini pada hari Selasa 08/03/2022 pukul 06:05
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: Amy SOOD, AFP India, AFP Malaysia
Video pesawat tentera yang terbang dalam formasi di atas bangunan kediaman telah ditonton puluhan ribu kali dalam catatan yang mendakwa ia menunjukkan jet pejuang Rusia memasuki negara jiran Ukraine pada Februari 2022. Video itu beredar dalam talian dalam selepas Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan pencerobohan darat dan serangan udara berskala penuh ke atas Ukraine. Walau bagaimanapun, rakaman itu telah dikongsi dalam konteks palsu. Ia telah tersebar sejak sekurang-kurangnya tahun 2020 dalam pelbagai catatan media sosial tentang latihan untuk pertunjukan udara Hari Kemenangan di Rusia.

Video berdurasi 31 saat itu telah dimuat naikkan di Facebook di sini pada 24 Februari 2022, di mana ia telah ditonton melebihi 35,000 kali.

Ia menunjukkan sepuluh pesawat terbang di atas kawasan perumahan sementara siren berbunyi di latar belakang.

Kapsyennya berbunyi: "Breaking News

"Kelihatan Jet tempur milik tentera ukrain berlegar di ruang angkasa ukrain.Tentera Russia semakin mara dengan serangan di beberapa kawasan Bandar ukrain."

Image
Tangkapan skrin catatan yang mengelirukan, diambil pada 1 Mac 2022

Video itu telah ditonton lebih daripada 19,000 kali setelah dikongsikan bersama dakwaan serupa di Facebook di sini, sini dan sini.

Ia juga disebarkan bersama dakwaan dalam bahasa Inggeris, bahasa Indonesia, bahasa Hungary, bahasa Sepanyol, bahasa Burma dan bahasa Cina.

Catatan itu mula beredar dalam talian dalam beberapa jam selepas Putin mengumumkan bahawa Rusia telah melancarkan operasi ketenteraan di negara jiran Ukraine pada 24 Februari 2022.

Letupan dilaporkan tidak lama kemudian di Kyiv, ibu negara Ukraine, dan di beberapa bandar lain, lapor AFP di sini.

Walau bagaimanapun, rakaman itu telah dikongsi dalam konteks palsu.

Carian imej terbalik di Yandex menemui versi video yang lebih panjang di sini di YouTube pada 4 Mei 2020.

Tajuk video itu, diterjemahkan daripada bahasa Rusia ke dalam bahasa Inggeris, berbunyi: "Latihan perbarisan 05/04/2020. Bahagian udara. Penerbangan pesawat di atas Tushino".

Tiada bunyi siren kedengaran dalam rakaman tulen.

Pekan Tushino terletak di utara Moscow, ibu negara Rusia.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin adegan video dalam hantaran yang mengelirukan (kiri) dan video di YouTube (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin adegan video dalam hantaran yang mengelirukan (kiri) dan video di YouTube (kanan)

Rakaman itu juga muncul dalam video kompilasi yang dimuat naik ke YouTube di sini pada hari yang sama yang bertajuk: "Lintas terbang Moscow (04 Mei 2020)".

Video itu termasuk kapsyen untuk pesawat tentera yang didakwa ditunjukkan dalam rakaman itu, termasuk TU-95, TU-160 dan TU-22.

Sambutan Hari Kemenangan

Agensi berita milik kerajaan Rusia RIA Novosti melaporkan pada 4 Mei 2020, bahawa latihan untuk pertunjukan udara bagi perarakan tentera Hari Kemenangan negara itu sedang berlangsung di Moscow.

Ia juga menerbitkan galeri foto pada 4 Mei 2020 berikutan acara itu.

Pelbagai foto menunjukkan pesawat terbang dalam formasi yang sama seperti yang dilihat dalam video yang mengelirukan.

Berikut adalah perbandingan tangkapan skrin daripada video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto RIA Novosti (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin daripada video dalam catatan yang mengelirukan (kiri) dan foto RIA Novosti (kanan)

Perarakan Hari Kemenangan Rusia, acara tahunan untuk menandakan berakhirnya Perang Dunia II, terkawal pada 2020 kerana sekatan Covid-19.

Walaupun perarakan tentera Hari Kemenangan utama pada 9 Mei kemudiannya dibatalkan, pertunjukan udara itu tetap diteruskan, menurut laporan RIA Novosti itu.

AFP melaporkan pada 9 Mei 2020 bahawa helikopter tentera, pengebom dan jet pejuang masih kelihatan terbang di atas bandar untuk menandakan peristiwa itu.

Perarakan tentera yang mewah untuk sambutan ulang tahun ke-75 diadakan kemudian pada 24 Jun 2020.

Pelbagai dakwaan tak benar dan mengelirukan yang berkaitan dengan konflik antara Rusia dan Ukraine boleh dilihat di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami