Animasi permainan video dikongsikan dengan dakwaan tak sahih tentang 'pertempuran di Ukraine selepas pencerobohan Rusia'

  • Artikel ini berusia lebih dari setahun.
  • Diterbitkan pada hari Rabu 16/03/2022 pukul 10:34
  • Dikemas kini pada hari Rabu 16/03/2022 pukul 10:43
  • Durasi bacaan 2 minit
  • Oleh: AFP Hong Kong, AFP Malaysia
Satu video telah ditonton lebih daripada sejuta kali setelah dikongsikan di media sosial bersama dengan dakwaan ia menunjukkan serangan peluru berpandu ke atas Ukraine selepas Rusia menyerang negara itu pada 24 Februari 2022. Namun begitu, video itu telah dikongsi dalam konteks palsu: ia menunjukkan rakaman animasi digital daripada permainan video War Thunder yang beredar dalam talian beberapa bulan sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

"Rakaman yang menunjukkan ruang udara Ukraine yang dipenuhi oleh peluru berpandu Rusia", nyata keterangan catatan Facebook ini, yang dimuat naikkan pada 24 Februari 2022.

Catatan itu mengongsikan sebuah video berdurasi 35 saat yang telah ditonton lebih daripada 400 kali.

Rakaman itu kelihatan memaparkan pertempuran udara pada waktu malam yang juga diiringi dengan bunyi siren di latar belakangnya.

Image
Tangkapan skrin catatan mengelirukan, diambil pada 16 Mac 2022

Catatan itu beredar beberapa jam setelah Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan bahawa negaranya melancarkan "operasi ketenteraan" di Ukraine pada 24 Februari 2022.

Video itu telah ditonton lebih daripada 1.2 juta kali setelah dikongsikan bersama dakwaan serupa di Facebook di sini dan sini, serta di TikTok di sini.

Rakaman itu juga muncul dengan dakwaan dalam bahasa Indonesia, bahasa Sepanyol, bahasa Romania, serta bahasa Cina.

Walau bagaimanapun, video yang mengelirukan itu wujud sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine mulai pada Februari 2022.

Carian kata kunci menemui versi yang lebih panjang bagi video yang sama yang dimuat naikkan oleh pengguna YouTube bernama Pandramodo pada 15 Disember 2021 di sini.

Video YouTube itu bertajuk, "The Iron Dome in War Thunder #shorts".

Di bawah adalah perbandingan tangkapan skrin bagi video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video asal dari Pandramodo (kanan):

Image
Tangkapan skrin bagi video dalam catatan mengelirukan (kiri) dan video asal dari Pandramodo (kanan)

Apabila dihubungi oleh AFP, pengguna YouTube Pandramodo berkata bahawa video tersebut "tiada kaitan dengan" konflik baru-baru ini di Ukraine.

Katanya, ia menunjukkan animasi digital yang diciptanya menggunakan rakaman daripada permainan video bernama War Thunder.

"'Peluru berpandu', seperti yang anda lihat, dilakukan dalam program '3D rendering'. Pemandangan itu diambil daripada permainan itu sendiri," katanya kepada AFP.

"Siren [yang kedengaran di latar belakang] adalah bunyi yang biasanya dimainkan di bandar-bandar Israel sekiranya berlaku serangan."

Pandramodo kemudiannya memuat naikkan video ini pada 25 Februari 2022 di saluran YouTubenya untuk menunjukkan process penciptaan video tersebut.

"Video ini dibuat semata-mata untuk memadamkan sebarang keraguan sama ada ini 'Rakaman Ukraine' atau tidak," tulisnya di keterangan catatan itu.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami